KUALA LUMPUR: Darurat yang dilaksankan sejak Januari lalu tidak memberi kesan ketara pada pergerakan ekonomi negara.

Menurut Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan Perkeso, Prof Madya Mohd Yusof Saari, ekonomi negara terkesan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Apa yang menganggu ekonomi kita sekarang ini ialah PKP. Dia seolah-olah wujud trade off antara PKP dengan kesihatan ekonomi itu.

"Apabila kita mengetatkan langkah pergerakan dengan mengetatkan juga operasi perniagaan dan kita lihat impak kesihatan ekonomi itu semakin teruk.

"Tetapi apabila kita longgarkan sedikit dengan membenarkan banyak sektor untuk beroperasi, memudahkan pergerakan, kita lihat kesan kepada ekonomi bertambah baik. Ia tidak ada kena mengena dengan darurat," katanya kepada Astro AWANI.

Mohd Yusof menjelaskan, kegusaran tentang pelaburan dalam negara hanya berlaku ketika peringkat awal darurat dilaksanakan.

Katanya, selepas melihat perjalanan darurat, pelabur melihat ia tidak ada memberi kesan kepada ekonomi.

"Tetapi kita perlu ingat bahawa pelaburan di Malaysia ini, trend merundum ini bukan bermula selepas darurat dilaksanakan, tetapi trend sudah bermula beberapa tahun sebelum 2020.

"Di sini bukan hanya faktor sentimen yang memainkan peranan, tetapi perkara yang lebih besar lagi iaitu dasar-dasar yang lebih stabil, dasar ini diambil kira kerana banyak negara yang laksanakan darurat.

"Darurat yang dilaksanakan ini berbeza dengan darurat sebelum ini kerana ia lebih kepada mengekang COVID-19," katanya lagi.

Beberapa pihak mempertikaikan pelaksanaan darurat dan mendakwa ia memberi kesan kepada ekonomi negara.