Dasar baik dikekal, yang lemah akan diperbaiki - Mohamad Sabu

Bernama
Mei 22, 2018 04:25 MYT
Mohamad menandatangani Nota Terima Tugas Menteri Pertahanan di Kementerian Pertahanan hari ini. Mengiringinya Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kiri) dan Ketua Setiausaha Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad. --fotoBERNAMA
Setiap dasar yang membawa kebaikan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini akan diteruskan, kata Menteri Pertahanan baharu Mohamad Sabu di sini hari ini.
Beliau berkata untuk dasar yang terdapat kelemahan, ia akan diperbaiki ataupun dibincang semula bersama semua pemimpin atasan ATM seperti Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera.
"Kami akan berusaha bergabung tenaga cari jalan terbaik, apa yang sudah ada dan ada kebaikan akan saya teruskan dan kalau ada kelemahan kita akan perbaiki bersama.
"Minggu pertama ini saya akan lebih banyak tumpu dengan taklimat dan penerangan semua pihak dalam cabang ATM," katanya ketika ditemui selepas memulakan tugas rasmi sebagai menteri di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara adalah antara 13 barisan menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara semalam.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia #dasar #kebaikan #kelemahan #Menteri Pertahanan #Mohamad Sabu