MALAYSIA
Dasar Gaji Progresif, HRD Corp terajui transformasi gaji dan kemahiran pekerja

HRD Corp perkasa pekerja Malaysia untuk melangkah ke era baharu peningkatan gaji seiring dengan kemahiran dan produktiviti mampan. - Foto HRD Corp
KUALA LUMPUR: Malaysia melangkah ke fasa baharu dalam reformasi pasaran kerja menerusi pelaksanaan penuh Dasar Gaji Progresif (DGP) bermula Januari 2025.
Ringkasan AI
- Dasar Gaji Progresif (DGP) mula dilaksanakan sepenuhnya pada Januari 2025 dengan peruntukan RM200 juta, memberi manfaat kepada lebih 50,000 pekerja tempatan.
- DGP menekankan latihan dan pembangunan kemahiran sebagai asas kenaikan gaji, dengan insentif sehingga RM300 sebulan kepada majikan yang memenuhi syarat latihan.
- HRD Corp memainkan peranan utama dalam pelaksanaan DGP melalui pelbagai platform latihan, menyokong pembentukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Melalui DGP, kerajaan memastikan latihan dilihat sebagai pelaburan strategik yang memberi pulangan kepada pekerja, majikan dan negara.
”Bagi pekerja, latihan ini membuka peluang untuk meningkatkan kemahiran teknikal, insaniah dan profesional, mengikuti program reskilling dan upskilling selain membina kerjaya lebih stabil dan bermaruah.
“Bagi majikan pula, tenaga kerja yang dilatih bukan sahaja lebih cekap dan produktif, malah dapat membantu syarikat mengurangkan kos operasi serta menyesuaikan diri dengan teknologi baharu,” kata HRD Corp menerusi sebuah kenyataan media.
Lebih menarik, majikan yang memenuhi syarat latihan di bawah DGP layak menerima insentif kerajaan sehingga RM300 sebulan bagi setiap pekerja bukan peringkat permulaan, menunjukkan latihan diberikan merupakan satu pelaburan dua hala yang menguntungkan.
Sebagai agensi utama di bawah Kementerian Sumber Manusia, Human Resource Development Corporation (HRD Corp) memainkan peranan penting dalam memastikan latihan DGP dilaksanakan dengan berkesan.
HRD Corp menyediakan pelbagai platform latihan seperti:
- HRD Corp Claimable Courses – kursus latihan yang boleh dituntut majikan.
- Latihan Dalaman & On-the-Job Training (OJT) – latihan praktikal di tempat kerja.
- e-LATiH – portal pembelajaran digital dengan kursus percuma dan premium.
- Akademi Dalam Industri (ADI) – kolaborasi bersama sektor industri untuk latihan berasaskan keperluan sebenar pasaran.
DGP turut mengiktiraf pelbagai bentuk latihan termasuk bersemuka, atas talian (remote online training), e-learning, hibrid, dan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).
Latihan boleh bersifat generik (asas dan umum) atau spesifik (mengikut bidang kerja atau industri), memberi kebebasan kepada majikan untuk memilih pendekatan paling sesuai.
Untuk melayakkan tuntutan insentif, majikan perlu memastikan setiap pekerja melengkapkan sekurang-kurangnya 21 jam latihan setahun serta menyerahkan dokumen pengesahan seperti sijil kehadiran, rekod latihan dalaman, atau sijil PPT.
Melalui pelaksanaan menyeluruh DGP dan kepimpinan HRD Corp, kerajaan menyasarkan pembentukan ekosistem pasaran buruh progresif, inklusif dan berdaya tahan.
DGP bukan sahaja meningkatkan kemahiran tenaga kerja, tetapi juga mengurangkan jurang pendapatan, memperkukuh daya saing negara dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Malaysia.
Dengan pendekatan berasaskan pembelajaran sepanjang hayat, Malaysia kini bergerak ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, di mana tenaga kerja bukan sahaja kompeten, malah inovatif dan bersedia menghadapi perubahan teknologi dari semasa ke semasa.
Melalui kolaborasi strategik antara kerajaan, HRD Corp dan sektor swasta, DGP diyakini mampu menjadi pemangkin utama transformasi pasaran kerja Malaysia membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi, produktif dan berpendapatan progresif.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami