Skip to main content

Malaysia

Dasar kerajaan, tindakan masyarakat penting bagi jamin kesihatan bumi - Khairy

Khairy berkata kekurangan dorongan politik antara cabaran utama dalam usaha beralih kepada kelestarian, memandangkan insentif yang diterima pemimpin politik pada masa ini “tidak selari” dengan matlamat yang ingin dicapai oleh pemimpin politik. --fotoBERNAMA
Khairy berkata kekurangan dorongan politik antara cabaran utama dalam usaha beralih kepada kelestarian, memandangkan insentif yang diterima pemimpin politik pada masa ini “tidak selari” dengan matlamat yang ingin dicapai oleh pemimpin politik. --fotoBERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dasar kerajaan yang kukuh dan inisiatif diterajui masyarakat perlu bergerak seiring bagi mencapai perubahan positif dalam memelihara kesihatan bumi, kata bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Dalam temu bual radio di Konti Mini Bernama bersempena dengan Persidangan Global Tipping Points (GTP) 2026 di sini semalam, Khairy menyifatkan titik perubahan positif sebagai “rangkaian kesan berantai yang mencetuskan perubahan ke arah kebaikan secara berkekalan dan tidak boleh diubah kembali.”

Beliau berkata usaha mencapai perubahan sistemik itu memerlukan komitmen teguh kerajaan, termasuk sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, komitmen mengikut sektor, penguatkuasaan yang berkesan, pelaksanaan dasar serta insentif dan penalti bersesuaian.

Pada masa sama, beliau berkata inisiatif digerakkan masyarakat merangkumi individu, pihak berkuasa agama serta institusi sosial turut memainkan peranan penting dalam mendorong perubahan di peringkat akar umbi. 

“Anda perlu mempunyai dasar yang menyeluruh dan komitmen kukuh, termasuk sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, pematuhan terhadap komitmen setiap sektor, penguatkuasaan yang tegas, pelaksanaan berkesan, pemberian insentif serta pengenaan hukuman.

“… dan usaha di peringkat kecil yang diterajui masyarakat juga diperlukan. Inisiatif yang boleh dilakukan oleh individu, pihak berkuasa agama dan institusi sosial. Gabungan kedua-dua pendekatan ini diharap dapat mewujudkan kesan positif yang saling memperkukuh sehingga mencetuskan perubahan besar ke arah kebaikan,” katanya.

Khairy berkata demikian menjawab pertanyaan berkaitan bagaimana kepimpinan dapat menterjemahkan penyelesaian kepada tindakan bagi mewujudkan masyarakat yang lebih sihat dan memelihara kesihatan bumi serta langkah yang diperlukan untuk mencapai titik perubahan positif.

Mengimbau pengalaman beliau mengendalikan pandemik COVID-19, Khairy berkata usaha menggerakkan masyarakat untuk bertindak demi kesihatan bumi lebih mencabar kerana ancaman yang dihadapi tidak begitu ketara dan tidak dirasai secara langsung oleh orang ramai.

“Ketika COVID-19, saya takut akan mati pada bila-bila masa. Sebab itu saya mendengar nasihat dan mendapatkan suntikan vaksin. Bagi kesihatan bumi pula, saya mungkin tidak akan mati hari ini, malah mungkin tidak juga tahun depan. Mungkin masalah ini akan dihadapi oleh anak atau cucu saya,” katanya.

Beliau berkata orang ramai sebenarnya telah merasai kesan masalah alam sekitar, termasuk jerebu dan banjir, namun ancaman berkenaan tidak dianggap mendesak sama seperti COVID-19.

Khairy berkata kekurangan dorongan politik antara cabaran utama dalam usaha beralih kepada kelestarian, memandangkan insentif yang diterima pemimpin politik pada masa ini “tidak selari” dengan matlamat yang ingin dicapai oleh pemimpin politik.

Pada peringkat global, beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan tindakan yang bersepadu, susulan perbezaan bidang kuasa setiap negara, tahap pembangunan serta kepentingan politik masing-masing.

Khairy berkata situasi berkenaan membimbangkan, khususnya apabila ada segelintir pemimpin dunia yang skeptikal terhadap perubahan iklim dan isu kesihatan bumi, sekali gus melemahkan usaha untuk menyelaraskan tindakan di peringkat global.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement