MALAYSIA

Dasar luar Malaysia tidak ditentukan kuasa asing - Anwar

Umavathi Ramayah 05/06/2025 | 14:31 MYT
Anwar berkata, Malaysia berdiri teguh bersama Iran dalam menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penjajahan dan pengusiran terhadap warga Gaza yang terus menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis Israel. - Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dasar luar Malaysia tidak ditentukan oleh mana-mana kuasa asing, sebaliknya berlandaskan kepentingan nasional serta keyakinan yang teguh.

Kenyataan itu dizahirkan Perdana Menteri dalam perbualan telefon bersama Presiden Iran, Masoud Pezeshkian sempena sambutan Aidiladha, yang kemudian dikongsi menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya.

Menurut beliau, Malaysia berdiri teguh bersama Iran dalam menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penjajahan dan pengusiran terhadap warga Gaza yang terus menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis Israel.

"Malaysia mengecam sikap kemunafikan negara-negara tertentu yang mendabik dada kononnya menjunjung hak asasi, namun secara diam membenarkan pembunuhan beramai-ramai tanpa sebarang tindakan yang bermaruah.

"Bungkam kepada kezaliman adalah satu pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan sejagat," katanya dalam perkongsian itu di sini, pada Khamis.

Dalam semangat Aidiladha yang mengangkat nilai pengorbanan dan semangat keadilan, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan atas usaha dan ketegasan Presiden Masoud yang secara konsisten mempertahankan nasib rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

Beliau turut mendoakan agar para jemaah haji dari kedua-dua negara yang kini berada di Tanah Suci dikurniakan haji mabrur serta mampu menyumbang kepada pembangunan ummah sebaik pulang ke tanah air masing-masing.

Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar sambutan Aidiladha tahun ini membawa rahmat, pengukuhan iman dan penyatuan umat Islam di seluruh dunia.


#Aidiladha #Anwar Ibrahim #Masoud Pezeshkian #Haji