Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

Dasar Pemilikan Negeri perkukuh autonomi, ekonomi Sarawak - Abang Johari

Bernama 11/10/2025 | 04:46 MYT
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Istiadat Perbarisan Dan Rapat Raksasa Sambutan Perayaan Hari Lahir Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-79 di Padang Merdeka hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Kerajaan Sarawak berada pada landasan kukuh untuk memperkukuh autonomi serta kedaulatan ekonomi melalui pelaksanaan "Dasar Pemilikan Negeri", dasar pertama seumpamanya di Malaysia, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Ringkasan AI
  • Sarawak memperkenalkan "Dasar Pemilikan Negeri" untuk memperkukuh autonomi dan kedaulatan ekonomi, membolehkan pengurusan aset negeri secara profesional dan mampan.
  • Dasar ini selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memberi kuasa kawal selia ke atas sumber seperti LPG melalui syarikat PETROS, serta membuka ruang penggubalan dasar dalam bidang penting seperti pendidikan dan kesihatan.
  • Premier Sarawak yakin dasar ini akan menjadikan Sarawak wilayah berdaulat dan berdaya saing, serta contoh tadbir urus berkesan dalam sistem Persekutuan negara.


Beliau berkata dasar baharu itu membolehkan kerajaan negeri mengoptimumkan pengurusan dan nilai aset milik Sarawak secara profesional, berintegriti dan mampan, sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan negeri rakan kongsi aktif dalam struktur Persekutuan negara.

"Dengan prinsip dan kerangka yang jelas, dasar ini akan memastikan Sarawak mampu menguruskan sumbernya sendiri bagi mengembangkan kepelbagaian asas ekonomi yang mampan dan lestari," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Lahir ke-79 Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka di sini hari ini.

Hadir sama isteri Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta anak Premier Sarawak, Dayang Norjihan.

Abang Johari berkata dasar itu merupakan kesinambungan daripada perjuangan Sarawak menuntut hak negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

"Hasil perjuangan ini, Sarawak kini mempunyai kuasa kawal selia ke atas gas petroleum cecair (LPG), satu sumber penting dalam sektor tenaga. Melalui syarikat milik kerajaan negeri Petroleum Sarawak Bhd (PETROS), kita kini mempunyai keupayaan untuk menguruskan sumber kita sendiri," katanya.

Abang Johari berkata autonomi yang semakin luas itu memberi peluang kepada kerajaan negeri menggubal dasar sendiri dalam bidang penting seperti pendidikan, kesihatan dan tenaga, agar pelaksanaannya lebih bersesuaian dengan keperluan serta realiti tempatan.

Beliau turut menzahirkan keyakinan Sarawak akan terus muncul sebagai wilayah berdaulat dan berdaya saing serta menjadi contoh tadbir urus berkesan dalam sistem Persekutuan negara, melalui kerangka autonomi dan dasar pemilikan negeri yang jelas.

Terdahulu, sambutan itu diserikan dengan Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa melibatkan 110 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan, agensi keselamatan, institusi pendidikan serta persatuan komuniti.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, barisan menteri Kabinet negeri serta dif kenamaan lain.

-- BERNAMA





#Kerajaan Sarawak #Dasar Pemilikan Negeri #Abang Johari Tun Openg #autonomi Sarawak