Dasar pindah kredit secara horizontal diperkenalkan untuk membantu pelajar Malaysia luar negara menangani isu kejatuhan ringgit sekali gus membolehkan mereka menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, dasar yang dibangunkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sejak 2011 itu memberikan pengiktirafan terhadap kesetaraan hasil pembelajaran, aras, kedalaman ilmu bidang, kemahiran atau kompetensi, nilai kredit serta gred lulus pengajian terdahulu.

"Ramai ibu bapa yang mempunyai anak di luar negara bertanya mengenai isu ini dan kita memudah cara dengan memberi kemudahan dengan sistem yang ada.

"Pindah kredit secara horizontal adalah kaedah pindah kredit daripada program di tahap kelayakan yang sama seperti program ijazah sarjana muda ke program ijazah sarjana muda. Pemindahan kredit ini akan dilaksanakan secara pemetaan kursus oleh IPT tempatan dengan mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan," katanya semasa sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Prof Dr. Rujhan Mustafa.

Pindah kredit secara horizontal adalah kaedah pindah kredit daripada program di tahap kelayakan yang sama seperti program ijazah sarjana muda ke program ijazah sarjana.

Pemindahan kredit ini akan dilaksanakan secara pemetaan kursus oleh IPT tempatan dengan mematuhi beberapa syarat.

Melalui konsep pindah kredit secara 'horizontal', tiada had kredit yang ditetapkan untuk dipindahkan ke program yang akan diikuti oleh pelajar Malaysia di IPT tempatan.

Namun, bagi membolehkan IPT tempatan terbabit menganugerahkan skrol, maka syarat pemastautin di IPT tempatan akan digunakan iaitu minimum selama satu tahun bagi program ijazah sarjana muda.

Dalam pada itu kata Dr. Rujhan, MQA juga prihatin dengan isu yang dihadapi oleh pelajar yang sedang mengikuti program American Degree Transfer Program (ADTP) atau UK Degree Transfer Program Australian Degree Transfer Program.

"Sehubungan itu, MQA juga bersetuju dengan saranan KPT supaya menambah baik dasar semasa bahawa pelajar yang mengikuti program sedemikian boleh menyambung pengajian mereka di dalam negara.

"Pelajar yang mengikuti ADTP dengan kelayakan masuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Pelajar ADTP dengan kelayakan masuk SPM yang ingin melanjutkan pengajian di IPT dalam negara juga perlu mematuhi syarat yang ditetapkan. Penambahbaikan dasar ini berkuat kuasa serta-merta," ujarnya.