Para netizen berpandangan dasar tidak terima hadiah merupakan sesuatu yang perlu dipratik oleh semua organisasi kerana perbuatan menerima hadiah boleh dianggap sebagai satu tindakan rasuah.

Astro AWANI hari ini telah mengumpul pandangan para netizen di laman Twitter dengan memuat naik satu soalan terbuka, “PNB umum dasar tidak menerima hadiah. Kongsi pandangan anda. Wajarkah semua organisasi melakukan yang sama?”

Di kalangan pengamal media sosial berpendapat tindakan itu wajar diamalkan oleh semua organisasi terutamanya organisasi kerajaan kerana ia merupakan satu langkah yang baik untuk membanteras rasuah dan secara tidak langsung boleh menjaga kepentingan pekerja.

"Wajar... itu yang terbaik untuk menangani gejala pemberian hadiah di syarikat-syarikat oleh pembekal dan kontraktor, " tulis seorang pengguna Twitter dengan nama SyahmiFM.




Bagi Aqilah Ahmad pula ia suatu langkah yang baik untuk mengelakkan sebarang konflik dalaman syarikat. Lebih-lebih lagi ia perlu dicontohi organisasi kerajaan, tambah pengguna Twitter @zer13.




Bagi Firdaus Pauzi, ia bukan sesuatu yang asing kerana ada di antara syarikat antarabangsa sudah mengamalkannya.




Namun, ada segelintir para netizen yang memberi pandangan bahawa perbuatan menerima hadiah bukannya sesuatu yang haram asalkan ia diberi secara terbuka dan sebagai satu tanda sumbangan kepada sesebuah organisasi.



Syamsul Azuar pula berkata, "ada pro & kontra. Boleh ambil dan distribute kepada Rumah anak2 yatim & mereka yg memerlukan tapi biarlah transparent."



Terdahulu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pelaksanaan dasar tidak menerima hadiah berkuat kuasa serta merta pada Isnin.

PNB dalam kenyataannya memaklumkam tindakan tersebut selaras dengan usaha menerapkan nilai-nilai korporat ke tahap tertinggi.

Sebelum ini, beberapa organisasi termasuk Petronas, Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana) serta syarikat audit melaksanakan dasar sama bagi menanam nilai integriti dan amanah dalam kalangan kakitangan.