SHAH ALAM : Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas satu pertuduhan meminta suapan berjumlah RM300,000 bagi membantu melepaskan 22 warga China, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohammed Al Faizal Mohammed, 45, didakwa secara rasuah  meminta suapan berjumlah RM300,000  daripada seorang ahli perniagaan, Lim Seng Chye, 41, sebagai dorongan untuk membantu melepaskan 22 warga China dari tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Mohammed Al Faizal juga mengaku tidak bersalah  atas satu lagi  pertuduhan pilihan iaitu  secara rasuah bersetuju menerima wang tunai  RM176,000  daripada Lim sebagai dorongan untuk membantu melepaskan 22 orang warganegara China daripada tahanan polis dan JIM.

Kedua-dua pertuduhan  itu didakwa dilakukannya  di sebuah  restoran di Jalan Dua, Kampung Baru Subang, Petaling, pada 9.30 malam,  22 Sept 2020, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim  Rozilah Salleh memutuskan Mohammed Al Faizal dikenakan jaminan RM100,000 setelah  Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab Wahab menawarkan jumlah tersebut bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam bela T. Tamil Salvan dan Benedict Anand itu diarah untuk melapor diri setiap awal bulan di pejabat SPRM Selangor dan pasportnya diserahkan pada mahkamah manakala sebutan semula kes pada 21 April depan.

Terdahulu Rozilah turut membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap  Mohammed Al Faizal pada Isnin, selepas kegagalan tertuduh menghadiri pertuduhan kes yang sepatutnya dijalankan semalam.

Rozilah turut memberi amaran kepada Mohammed Al Faizal bahawa mahkamah tidak akan memaafkannya sekiranya dia mengulangi tindakan yang sama.

Semalam, mahkamah mengeluarkan waran tangkap kepada tertuduh apabila gagal menghadirkan diri bagi pertuduhan kes setelah dimohon pihak pendakwaan.

Tamil Salvan selepas itu memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya pada ketika itu sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, kerana mengalami artritis.

Terdahulu Mohammed Al Faizal tiba di perkarangan Mahkamah Shah Alam pada 8.45 pagi dengan berkerusi roda dan diiringi anggota SPRM.

Pada 18 Mac lalu, tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan termasuk dua pertuduhan pilihan, iaitu secara rasuah menerima suapan berjumlah RM176,000 daripada seorang ahli perniagaan sebagai dorongan untuk membantu melepaskan 22 warga China dari tahanan
polis dan JIM.


-- BERNAMA