KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas tiga pertuduhan memeterai perjanjian dan menerima bayaran RM100,000 tanpa kelulusan mesyuarat agung syarikat, tujuh tahun lalu.

Jalil Siam, 62, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan, Hakim, Norina Zainol Abidin.

Mengikut satu pertuduhan, dia didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat, telah memeterai 'Joint Venture Agreement' bagi pihak Ghaz Properties Sdn Bhd dengan sebuah syarikat lain tanpa kelulusan mesyuarat agung syarikat untuk mendapatkan manfaat secara langsung kepada dirinya.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan, menggunakan harta syarikat itu bagi manfaat diri sendiri dengan menerima wang melalui 20 transaksi deposit tunai berjumlah RM98,950 ke akaun dan pindahan dana RM1,050 ke Maybank milik OKS, setelah memeterai perjanjian berkenaan bertarikh 8 Mei 2017.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 8 Mei dan 14 Julai 2017.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 218(1)(a) dan (c) Akta Syarikat 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 218(2) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Iqbal Mohd Yusoff memohon bagi ketiga-tiga pertuduhan dibicarakan bersama dengan menghujahkan bahawa pihak-pihak seperti dalam pertuduhan melibatkan fakta dan transaksi yang sama.

Mendengar perkara itu, peguam, Pramod Nambiar tidak membantah cadangan terbabit dan mahkamah menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes. - Sinar Harian