Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Daya ketahanan datang dari kesiapsiagaan bersama, kata PM di G20

Hafiz Marzukhi 22/11/2025 | 11:54 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengajaran daripada cabaran ini adalah jelas, daya ketahanan datang dari kesiapsiagaan bersama bukan dihadapi secara berseorangan. - Foto ihsan PMO
JOHANNESBURG: Dalam usaha mendepani cabaran global seperti tarif, tekanan kepada rantaian bekalan serta perubahan teknologi yang pesat, polisi perlu diselaraskan agar kejutan dapat diserap tanpa kerosakan yang besar.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan perlunya selaraskan polisi bagi hadapi cabaran global seperti tarif, tekanan rantaian bekalan, dan perubahan teknologi demi serap kejutan tanpa kerosakan besar.
  • Anwar menyarankan negara mempersiapkan rakyat, terutamanya golongan muda, untuk hadapi perubahan teknologi dengan peluang latihan, jaringan keselamatan kukuh, dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana.
  • Beliau juga menegaskan kepentingan perdagangan terbuka serta keupayaan negara untuk melabur sebelum gangguan berlaku, selain menyatakan Malaysia bersedia bekerjasama dalam mengekalkan ekonomi global yang adil dan boleh dijangka.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengajaran daripada cabaran ini adalah jelas, iaitu daya ketahanan datang dari kesiapsiagaan bersama dan bukan dihadapi secara berseorangan.

"Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia telah bekerjasama dengan negara jiran di Asia Tenggara bagi mengurus cabaran-cabaran ini.

"Pengajaran ini penting memandangkan Kecerdasan Buatan (AI) akan menyusun semula pasaran buruh pada kadar yang sukar untuk kita ikuti.

"Tanpa pelaburan awal dalam peralihan ini, pekerja, terutamanya golongan muda, bakal berdepan cabaran ini secara bersendirian," kata beliau dalam sesi intervensi di Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg, Afrika Selatan hari ini.

Oleh itu, Anwar telah mengutarakan beberapa pemerhatian.

"Pertama, negara mesti mempersiapkan rakyat mereka, khususnya golongan muda, untuk menghadapi kepantasan perubahan teknologi.

"Peluang latihan dan jaringan keselamatan yang kukuh adalah penting serta sokongan untuk perusahaan kecil dan sederhana, yang menanggung sebahagian besar beban pekerjaan," katanya.

Kedua, Anwar berkata perdagangan terbuka serta boleh dijangka kekal penting.

"Di Asia Tenggara, kami terus memperkukuh komitmen terhadap perdagangan antarabangsa. Kami mendapati bahawa pasaran yang saling berhubung dan peraturan yang jelas serta stabil menguatkan rantaian bekalan dan memberi keyakinan kepada firma untuk melabur," kata Perdana Menteri.

Akhir sekali, Anwar berkata bahawa ketahanan global tidak boleh dibina di atas keletihan fiskal.

"Negara perlu mempunyai keupayaan untuk melabur sebelum berlakunya gangguan (disruption), bukan selepasnya.

"Bank pembangunan multilateral mesti bersedia untuk bertindak dengan lebih cepat dan bekerja rapat dengan negara bagi menyokong pelaburan yang membina ketahanan," jelas beliau.

Sebelum mengakhiri intervensi beliau, Anwar berkata Malaysia bersedia bekerjasama dengan semua rakan untuk menghadapi cabaran bersama ini dan membantu mengekalkan ekonomi global yang terbuka dan boleh dijangka, yang memberi peluang adil kepada rakyat untuk maju.

Ini merupakan hari pertama bagi Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg, Afrika Selatan.

Sesi pagi G20 memberi tumpuan kepada Pembangunan Ekonomi yang Inklusif dan Lestari agar tiada yang tertinggal.

Negara anggota G20 terdiri Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Russia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Türkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.

Anwar tiba di Johannesburg pada Khamis bagi lawatan kerja selama empat hari.

Beliau dijadualkan untuk meneruskan lawatan rasminya ke Nairobi, Kenya esok.


#G20 #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #kesiapsiagaan bersama #Asia Tenggara