[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
NATIONAL

DBKL anjur Hari Terbuka PTKL2040 7 hingga 9 Mei ini

Afiezy Azaman 02/05/2025 | 00:30 MYT
Maimunah berkata, Hari Terbuka ini bertujuan memberi maklumat mengenai proses pertimbangan permohonan perancangan yang dibuat secara menyeluruh, berpandukan dasar sedia ada. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited untuk merancang pembangunan bandar secara sistematik berpandukan pelan, selaras dengan pendekatan “plan-led” melalui pelaksanaan program flagship.

Ringkasan AI
  • DBKL komited untuk merancang pembangunan bandar secara sistematik berpandukan pelan, selaras dengan pendekatan "plan-led" melalui pelaksanaan program flagship.
  • Program ini menjadi platform interaktif bagi orang awam dan pihak berkepentingan untuk memahami hala tuju pembangunan Kuala Lumpur.
  • Warga kota diberi peluang untuk meneliti serta memberi maklum balas terhadap pindaan Draf PTKL2040 sebelum ia diwartakan.

Selaras dengan komitmen tersebut, DBKL akan menganjurkan Hari Terbuka Pindaan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) di Lobi Menara DBKL 1, bermula jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang, pada 7 hingga 9 Mei ini.
Program ini menjadi platform interaktif bagi orang awam dan pihak berkepentingan untuk memahami hala tuju pembangunan Kuala Lumpur.
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, Hari Terbuka ini bertujuan memberi maklumat mengenai proses pertimbangan permohonan perancangan yang dibuat secara menyeluruh, berpandukan dasar sedia ada.
"Ia mencerminkan komitmen DBKL terhadap prinsip ketelusan dan keterangkuman dalam amalan perancangan bandar.
"Warga kota diberi peluang untuk meneliti pindaan Draf PTKL2040 sebelum ia diwartakan secara rasmi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Draf PTKL2040 yang disediakan sejak 2019 berdasarkan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267), bakal menggantikan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.
Dokumen ini menterjemahkan dasar-dasar utama Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) yang telah diwartakan pada 19 Oktober 2023.
Maimunah berkata, sepanjang tempoh publisiti dari Januari hingga April 2024, DBKL telah menerima lebih 28,000 pandangan daripada masyarakat dan pelbagai pihak berkepentingan.
"Sebanyak 480 sesi pendengaran telah diadakan oleh Jawatankuasa Pendengaran Pandangan Awam (JKPPA) bagi meneliti setiap pandangan secara telus dan terperinci.
"Orang ramai, khususnya warga Kuala Lumpur, dijemput hadir ke Hari Terbuka PTKL2040 untuk bersama-sama memainkan peranan dalam membentuk masa depan ibu negara sebagai sebuah bandar untuk semua, mampan, berdaya huni dan progresif," ujarnya.
#DBKL #PTKL2040 #platform interaktif #hala tuju pembangunan