Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) belum bersedia mewujudkan parkir bertingkat menggunakan sistem mekanikal kerana kemudahan itu tidak menjanjikan pulangan yang menguntungkan.

Sebaliknya, DBKL menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan
lalu lintas di pusat bandar.

"Belum ada keperluan untuk kemudahan seperti itu dan juga belum ada mana-mana syarikat mencadangkan perkara itu kepada DBKL," kata Pegawai Perhubungan Awam DBKL Mohd Aznan Mohd Zain kepada pemberita.

Sementara itu, kos penyelenggaraan yang tinggi dan memerlukan ruang yang luas menyebabkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak meneruskan sistem tersebut selepas diperkenalkan dua tahun lepas.

Pegawai Perhubungan Awam MBPJ Zainun Zakaria berkata sistem parkir mekanikal bertingkat mengambil ruang sehingga empat tapak parkir namun hanya enam buah kereta sahaja boleh menggunakan sistem itu pada satu-satu masa.

Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran IHI Transport Engineering Malaysia Sdn Bhd, Adrian Yap, berkata sebuah parkir mekanikal bertingkat sedang dibina di Jalan Pudu di sini dan dijangka siap bulan depan.

Beliau berkata syarikat itu menguruskan penggunaan sistem parkir mekanikal bertingkat berasaskan teknologi Jepun.

Yap berkata syarikatnya telah menyediakan pelbagai sistem parkir antaranya jenis 'Elevator' dan 'Tower' di Amerika Syarikat, China, Singapura, Korea Selatan, Vietnam serta Hong Kong.

Pada 2011, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan pembinaan tempat letak kereta automatik menggunakan sistem putaran di pusat bandar di Jalan Batas Baru, Kuala Terengganu.

Tempat parkir automatik pertama di Malaysia itu menelan belanja kira-kira RM9.8 juta dan boleh menampung 250 kenderaan pada satu-satu masa.