DBKL buka portal OSC kepada umum, perkukuh ketelusan perancangan bandar

Hannah berkata, pembukaan akses itu dijangka meningkatkan keyakinan awam terhadap proses perancangan dan pembangunan, selain memastikan semua aktiviti pembangunan dilaksanakan secara teratur. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka Portal One Stop Centre (OSC) kepada orang awam sebagai langkah memperkukuh ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam proses perancangan bandar raya ini.
Ringkasan AI
- DBKL membuka Portal One Stop Centre (OSC) untuk memperkukuh ketelusan dalam proses perancangan bandar raya.
- Menteri Hannah Yeoh menyatakan OSC memberi akses maklumat permohonan pembangunan kepada orang awam tanpa mendedahkan maklumat sulit.
- Pendekatan keterbukaan dalam perancangan bandar diiktiraf sebagai hak awam untuk meningkatkan keyakinan dan tanggungjawab dalam pembangunan bandar.
"Maklumat persendirian dan sulit seperti pelan bangunan terperinci serta dokumen yang membentuk hak milik proprietari pemilik tanah akan terus dilindungi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pembukaan akses itu dijangka meningkatkan keyakinan awam terhadap proses perancangan dan pembangunan, selain memastikan semua aktiviti pembangunan dilaksanakan secara teratur, mematuhi peraturan serta bertanggungjawab.
Hannah berkata, pendekatan keterbukaan dalam perancangan bandar telah lama menjadi amalan piawai negara maju, dengan akses kepada maklumat asas perancangan diiktiraf sebagai hak awam dan bukannya maklumat yang perlu dirahsiakan.
"Reformasi ini telah sekian lama diperjuangkan oleh Ahli Parlimen, gabungan pertubuhan masyarakat sivil dan persatuan penduduk di Kuala Lumpur dan hari ini ia direalisasikan.
"Saya merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud atas usaha memudah cara reformasi ini dengan pantas.
"Bandar ini milik rakyatnya dan setiap pihak berkepentingan mempunyai peranan dalam membentuk masa depan Kuala Lumpur," katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal berkenaan menerusi osc3plus.dbkl.gov.my.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


