DBKL kenal pasti lebih banyak kawasan untuk 'pocket park'

Bernama
Ogos 14, 2018 05:41 MYT
Ahli Lembah Pantai Fahmi Fazdil ketika menjawab soalan wartawan selepas Majlis Simbolik Tanam Pokok Sempena Pelancaran Pocket Park di Taman Lucky Bangsar hari ini. - Foto BERNAMA
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengenal pasti lebih banyak kawasan untuk membina 'pocket park' atau 'hutan bandar mini' dalam usaha mewujudkan persekitaran hijau di sekitar ibu kota.
Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Mahadi Che Ngah berkata setakat ini, kira-kira 20 kawasan itu diwujudkan di sekitar ibu kota.
"Fungsi kawasan yang ditanam banyak pokok ini bukan sahaja mengindahkan dan menghijaukan landskap ibu kota, malah sebagai pengawal gas karbon dioksida.
"Kami mengenal pasti lebih banyak kawasan yang sesuai untuk membina 'pocket park' dengan menanam pokok redup dan membina fasiliti seperti atap dan bangku untuk keselesaan warga kota, terutamanya ketika musim panas," katanya ketika ditemui selepas menanam pokok, simbolik pelancaran hutan bandar mini Taman Lucky, Bangsar hari ini.
Beliau berkata kerja-kerja menanam pokok di sepanjang laluan pejalan kaki di Taman Lucky bakal siap dalam tempoh sebulan.
"Kami turut akan membina sebuah buaian dan pelindung pejalan kaki untuk warga kota dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi DBKL serta penduduk sekitar," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mencadangkan supaya usaha penanaman pokok di sekitar ibu kota mendapat nasihat dan kepakaran daripada arboris atau 'doktor pokok'.
"Pokok-pokok yang sesuai perlu dikenal pasti untuk ditanam di ibu kota dan dilabelkan supaya tidak berlaku kejadian pokok tumbang yang menyebabkan kematian.
"Kerjasama dengan arboris ini dapat membantu bandar raya untuk mencapai pembangunan mampan seperti mana yang dimaktubkan dalam Pelan Wilayah Kuala Lumpur 2020-2040," katanya.
-- BERNAMA
#Ahli Parlimen Lembah Pantai #Bangsar #DBKL #Dewan Bandaraya Kuala Lumpur #Fahmi Fadzil #hutan bandar mini #Mahadi Che Ngah #pocket park #Taman Lucky