Skip to main content

Malaysia

DBKL lanjut waktu operasi 10 taman awam bermula 5.30 pagi

41599628904_tamantasiktitiwang.jpg
Waktu operasi bagi Taman Botani Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa turut dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam pada setiap Jumaat dan Sabtu. - Gambar fail

Sebanyak 10 taman awam di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dibuka lebih awal dan dilanjutkan waktu operasinya bermula 5.30 pagi hingga 10 malam bagi memberi lebih ruang kepada warga kota menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata antara taman terlibat ialah Taman Botani Perdana, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Metropolitan Kepong, Taman Tasik Permaisuri, Taman Bukit Jalil, Taman Tasik Menjalara, Taman Pudu Ulu, Taman Rekreasi Alam Damai, Taman Tasik Ampang Hilir dan Taman Tasik Danau Kota.

“Waktu operasi bagi Taman Botani Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa turut dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam pada setiap Jumaat dan Sabtu bagi membolehkan orang ramai beriadah pada waktu malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan waktu operasi baharu itu mengambil kira pola penggunaan komuniti, khususnya golongan bekerja, warga emas serta mereka yang memilih waktu awal pagi untuk beriadah dalam suasana lebih selesa dan kurang sesak.

Menurutnya aspek kebersihan taman, pencahayaan kawasan, penyelenggaraan tandas awam, kawalan keselamatan serta penyelarasan petugas lapangan turut diberi perhatian bagi memastikan kemudahan awam dapat digunakan dengan selesa dan selamat.

Dalam pada itu, Hannah berkata beberapa promenade, padang awam dan taman di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) turut dibuka seawal 5.30 pagi, termasuk Promenade Persiaran Perdana Presint 2 dan Padang Awam Presint 9 di Putrajaya, serta Padang Awam Dataran Labuan dan Taman Botani Labuan.

-- BERNAMA

Must Watch Video