Dewan Bandaraya Kuala lumpur (DBKL) memperuntukkan RM2.44 bilion untuk Bajet 2015 dengan RM1.63 bilion bagi mengurus dan RM812.54 juta untuk pembangunan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata secara keseluruhan, terdapat peningkatan sebanyak 2.1 peratus di dalam Bajet 2015 berbanding tahun lepas iaitu sebanyak RM2.39 bilion selepas mengambil kira pindaan peruntukan dalam Bajet Tambahan 2014.

"Penyediaan Bajet 2015 ini mengambil kira pandangan dan idea daripada warga kota dan pemimpin masyarakat dalam merangka program, aktiviti atau projek yang dapat memberi impak lebih baik kepada semua pihak.

"Idea dan saranan itu dijadikan input serta maklumat tambahan bagi memastikan perancangan Bajet DBKL adalah realistik dan mengambil kira keperluan sebenar masyarakat," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, Selasa.

Bajet itu yang bertema 'Kuala Lumpur Milik Warga Kota', ia menggariskan lima kerangka strategi utamanya iaitu Bandaraya Milik Warga Kota, Kemakmuran Ekonomi, Bandaraya Saling Bersaring, Bandaraya Eko dan Bandaraya Tadbir Urus Cekap.

Ahmad Phesal berkata DBKL dijangka memperoleh hasil sebanyak RM2.07 bilion dan cukai taksiran merupakan hasil utama yang menyumbang sebanyak 48.3 peratus daripada hasil keseluruhan DBKL.

"Penilaian semula hartanah yang akan dilaksanakan pada tahun depan ke atas 500,000 unit pegangan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka menambah hasil cukai taksiran sebanyak RM70 juta setahun," katanya.

Beliau berkata sebanyak RM116.8 juta diperuntukkan DBKL di bawah perbelanjaan mengurus bagi kerja-kerja pengisaran dan penurapan semula jalan di jalan-jalan awam, kawasan perumahan dan lorong sisi atau belakang di Kuala Lumpur sepanjang 2,010 kilometer termasuk kerja-kerja membaik pulih jalan dan persimpangan merbahaya serta longkang.

"Peruntukan pembangunan RM253 juta pula bertujuan membina dan menaik taraf jalan raya. DBKL merancang untuk melaksanakan 37 projek termasuk 28 projek pembiayaan DBKL dengan anggaran RM141.6 juta manakala tujuh projek di bawah pembiayaan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) sebanyak RM104.1 juta.

"Selain itu, sebanyak RM168.1 juta untuk peruntukan pembangunan bagi kerja-kerja perparitan dan penyelenggaraan sungai yang bertujuan mempertingkat sistem perparitan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur," katanya.

Sebanyak RM6.4 juta pula diperuntukkan bagi mengawal penularan wabak denggi dan masalah yang berpunca dari nyamuk dan tikus.

Ahmad Phesal berkata secara keseluruhan, Bajet 2015 DBKL merupakan belanjawan seimbang dengan menganggarkan lebihan sebanyak RM447.64 juta peruntukan akan disalurkan dalam perbelanjaan pembangunan.