MALAYSIA
DBKL terima 1,009 aduan kenderaan buruk setakat Mei, Segambut catat aduan tertinggi

Kesemua aduan itu melibatkan 11 kawasan Parlimen dengan jumlah tertinggi direkodkan di Segambut (163 aduan), diikuti Seputeh (143), Setiawangsa (113) dan Bukit Bintang (81). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,009 aduan awam berkaitan kenderaan buruk atau terbiar diterima Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak awal Jan hingga Mei tahun ini dengan 992 aduan berjaya diselesaikan dan baki 17 kes masih dalam siasatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata kesemua aduan itu melibatkan 11 kawasan Parlimen dengan jumlah tertinggi direkodkan di Segambut (163 aduan), diikuti Seputeh (143), Setiawangsa (113) dan Bukit Bintang (81).
Beliau berkata Jabatan Penguatkuasaan DBKL menguruskan kesemua kenderaan berkenaan dengan mengangkut ke tiga depoh khas iaitu Depoh Taman Connaught, Depoh Pantai Sentral dan Depoh Jalan Emas yang diwujudkan khusus bagi tujuan simpanan dan pelupusan.
"Antara langkah penambahbaikan sistematik yang sedang diambil oleh DBKL adalah mempercepatkan proses pelupusan untuk kenderaan tidak dituntut melalui pewartaan."Namun, proses pewartaan ini memang memerlukan masa kerana DBKL perlu memastikan pemilik atau waris benar-benar tidak akan menuntut kembali kenderaan sebelum dilupuskan atas dasar menjaga kepentingan hak milik," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu jumlah kenderaan terbiar atau buruk yang dikenal pasti dan dilaporkan di DBKL sejak awal 2025 hingga kini, termasuk jumlah keseluruhan aduan yang diterima berkaitan isu itu serta jumlah aduan yang telah dan belum diselesaikan.
Dr Zaliha berkata penyelesaian sebenar adalah apabila semua pemilik kenderaan buruk atau terbiar memainkan peranan masing-masing dalam melupuskan kenderaan mereka sendiri.
"Pemerhatian DBKL mendapati perkara ini menjadi semakin mendesak memandangkan semakin banyak kenderaan ditinggalkan tanpa tuntutan, khususnya melibatkan kes kematian pemilik tanpa waris yang bertindak, kenderaan yang tidak dituntut dari bengkel atau disimpan oleh individu tertentu atas alasan nilai sentimental," katanya.
Dalam hal itu, beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan sistem e-Dereg yang membolehkan pemilik membatalkan pendaftaran kenderaan atas talian melalui platform digital JPJ, seterusnya menghantar kenderaan tersebut ke pusat Kemudahan Rawatan Automotif Berlesen (AATF) yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Sistem ini memudahkan proses kerana pemilik tidak perlu hadir di pejabat JPJ. Tambahan pula AATF akan menanggung kos angkut dan pelupusan dan proses ini akan selesai dalam masa kurang sejam.
"Pemilik juga akan dibayar sagu hati berdasarkan keadaan kenderaan. Sagu hati yang diterima boleh digunakan kembali untuk membayar saman tertunggak sekiranya ada," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami