NATIONAL
Debaran 394,880 calon dapat keputusan SPM hari ini
Calon sekolah boleh mendapatkan keputusan masing-masing di sekolah bermula 10 pagi. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seramai 394,880 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan menerima keputusan masing-masing hari ini.
Jumlah tersebut melibatkan kesemua calon yang telah menduduki peperiksaan di 3,337 pusat pusat peperiksaan di seluruh negara sebelum ini.
Jumlah keseluruhan calon yang mendaftar bagi menduduki peperiksaan itu adalah 402,956 pelajar namun Kementerian Pendidikan sebelum ini memaklumkan 8,076 calon tidak tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis.
Daripada jumlah itu 6,231 ialah calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Jumlah itu bagaimanapun menunjukkan sedikit penurunan berbanding 10,160 calon tidak hadir pada peperiksaan SPM tahun 2023.
Seramai 386,739 calon baharu peperiksaan itu mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dan daripada jumlah tersebut, 345,129 orang merupakan calon sekolah KPM.
KPM sebelum ini memaklumkan, calon sekolah boleh mendapatkan keputusan masing-masing di sekolah bermula 10 pagi ini.
Bagi calon persendirian pula, keputusan akan dihantar melalui pos atau boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan.
Selain itu, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan secara dalam talian menerusi laman sesawang myresultspm.moe.gov.my mulai 10 pagi pada 24 April sehingga 6 petang pada 30 April ini.
Semakan juga boleh dibuat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM, diikuti nombor kad pengenalan dan angka giliran, kemudian dihantar ke 15888 dalam tempoh yang sama.