KUALA LUMPUR: Penganjuran Debat Perdana di antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan 
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Mei ini dijangka membawa amalan politik matang di negara ini.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, penganjuran debat yang melibatkan dua tokoh politik negara juga membuktikan budaya politik sihat mampu diketengahkan di pentas perdebatan.

"Kita biasanya berpandangan serong terhadap ahli politik, Ahli Parlimen... itu kita tidak boleh lari natijah daripada insiden berlaku.


"Harapan secara peribadi, bila kita anjurkan program Debat Perdana ini maka dia membuka hati rakyat Malaysia kepada corak politik lebih matang, budaya politik yang boleh berbeza pandangan tapi tidak begitu tajam sehingga bermusuhan dan berdendam kesumat," kata Fahmi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman penganjuran Debat Najib - Anwar di sini, hari ini.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Debat perdana antara Ahli Parlimen Pekan dan Ahli Parlimen Port Dickson itu akan diadakan pada 12 Mei ini di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada pukul 9 malam.

BACA: Debat Najib Razak - Anwar Ibrahim 12 Mei di Universiti Malaya

Najib dan Anwar kedua-duanya veteran politik akan saling mengupas isu Sapura Energy Bhd (SEB) dan masa depan Malaysia pada debat berkenaan.

Fahmi berkata, meskipun pertembungan antara dua sosok tokoh politik itu pertama kali diadakan dalam sejarah negara, namun, apa yang dijangka bakal dilihat ialah perdebatan secara sihat itu akan membawa persepsi politik sihat kepada rakyat.

"Dua tokoh ini sejarah mereka dalam politik begitu lama, semestinya ada berfikiran bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh bersetuju kepada Datuk Seri Mohd Najib yang merupakan Perdana Menteri ketika Anwar masuk ke penjara.

"Kita ambil pengajaran kesesuaian kedua-dua pihak menghadiri satu program sepatutnya beri keyakinan rakyat Malaysia untuk hidup harmoni, kena ketepikan perbezaan, we can forgive but not forget.

"Kita kena tengok idea lebih rasional dan baik, nak tak nak dalam suasana politik hari ini kawan dan lawan dah samar, kita tak tahu siapa dalam kerajaan dan pembangkang," jelasnya lagi.

Sementara itu, Isham pula berpendapat program Debat Perdana itu bakal menyaksikan persaingan hujah dan idea di antara Anwar dan Najib.

"Kita saya rasa tiba masanya politik Malaysia membiasakan diri untuk berdebat… di negara maju biasa berdebat.

"Perdebatan ini persaingan idea dan hujah dan bila mereka ini menang (pilihan raya), dia masuk Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu berdebat juga, sebab itu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU), ada sesuatu isu kita kena biasakan berdebat.

"Berdebat tak bermaksud kita bertelingkah atas pentas, kita tengok macam mana mereka boleh beri hujah secara matang," katanya.