Delegasi Jelajah Ilmu deklamasi sajak, persembahan silat sempena Hari Malaysia

Bernama
September 17, 2022 01:45 MYT
Jelajah Ilmu ke-16 UniMAP diketuai oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Canselor UniMAP. - Gambar hiasan/BERNAMA
BANGKOK: Delegasi Jelajah Ilmu Ke-16 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mewarnai sambutan Hari Malaysia dengan mempersembahkan deklamasi sajak dan pertunjukan silat malam tadi.
Persembahan itu dilakukan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP secara sederhana di sebuah restoran.
Jelajah Ilmu ke-16 UniMAP diketuai oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Canselor UniMAP.
Keberangkatan tiba baginda di sini disambut oleh Timbalan Ketua Misi Kedutaan Malaysia di Bangkok Suzilah Mohd Sidek.
Baginda turut melancarkan dua menu makanan Perlis sempena Promosi Makanan Perlis iaitu Kurma Daging Perlis dan Pulut Mangga Perlis yang akan menjadi antara menu istimewa di Restoran Ibu milik rakyat Malaysia.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyampaikan sumbangan MAIPs Peduli sebanyak RM1,000 kepada Masjid Mirasuddeen, Bangkok.
-- BERNAMA
#Jelajah Ilmu #UniMAP #sajak #pertunjukan silat