Demi negara, ibu dalam pantang sanggup pandu sendiri ke pusat mengundi

Astro Awani
Mei 9, 2018 08:14 MYT
Tan Kwok Chai yang baharu sembilan hari melahirkan bayi lelakinya memandu sendiri ke pusat mengundi. -Foto Astro Awani
Seorang wanita dari Tasek Gelugor sanggup memandu sendiri ke pusat pembuangan undi biarpun masih dalam tempoh berpantang.
Tan Kwok Chai, 37 tahun, yang baharu sembilan hari melahirkan bayi lelakinya di Hospital Seberang Jaya (HSJ) berkata dia terpaksa mengetepikan semua rasa sakit kerana tidak mahu terlepas peluang mengundi.
Dia membuang undi di sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lee Chee, di sini, ditemani anak perempuannya, Lum Ke Ying, 10 tahun.
“Peluang mengundi hanya tiba lima tahun sekali sahaja dan sebagai rakyat Malaysia saya mahu menunaikan tanggungjawab demi negara kerana satu undi amat berharga.
“Jadi, walaupun sedang sakit kerana melahirkan anak secara pembedahan tetapi saya menguatkan diri untuk datang ke sini,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan sekolah, di sini, hari ini.
Menurut ibu kepada enam anak itu, dia sepatutnya melahirkan anak pada bulan hadapan namun diawalkan berikutan berlaku jangkitan kuman lalu memaksa dia bersalin secara pembedahan.
Katanya, suaminya tidak dapat menemaninya berikutan perlu menjaga anak-anak yang lain.
''Kami perlu bergilir-gilir untuk mengundi memandangkan tiada orang mahu menjaga anak anak yang lain.
“Saya gembira kerana berjaya menunaikan tanggungjawab dan berterima kasih kepada semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membantu menguruskan perjalanan saya mengundi dari awal hingga seleasi,” katanya.
Mengikut daftar pemilih, Kwok Chai mengundi bagi kawasan Parlimen Tasek Gelugor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan.
#dalam pantang #lahirkan bayi lelaki #Malaysia Memilih #memandu sendiri #mengundi #sembilan hari #tanggung jawab