Pemilihan UMNO yang melibatkan suara ahli di peringkat akar umbi menjadikan parti itu sebagai yang paling ke hadapan dalam proses demokrasi di negara ini dan boleh dijadikan contoh oleh parti-parti politik yang lain, kata Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, kelancaran dan kejayaan proses pemilihan yang pertama kali diadakan itu juga bukti pindaan perlembagaan parti itu empat tahun lalu satu keputusan yang tepat dan diterima oleh ahli parti.

"Saya sebut pada Muhyiddin, pada empat tahun lepas kita tak dapat meramal perkara ini, tetapi nampaknya ia telah dapat menarik perhatian bukan sahaja media, malah masyarakat dalam dan luar negara, ini satu bukti bahawa demokrasi hidup segar dalam Umno," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui ada beberapa masalah yang berlaku namun memberi jaminan langkah mengatasinya akan dibuat sebelum pemilihan Majlis Tertinggi pada 19 Oktober ini.

Najib bercakap pada sidang media selepas mendengar taklimat perjalanan pemilihan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri di peringkat bahagian dan pusat, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Sabtu malam.

Sebelum ini, hanya sekitar 2,000 perwakilan Umno dari ketiga-tiga sayap itu menentukan saf kepimpinan di peringkat pusat berbanding hampir suku juta perwakilan sekarang.

Pemilihan kali ini menyaksikan 33,012 calon bertanding, 247,000 kertas undi dikeluarkan membabitkan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, 572 pusat mengundi dan membabitkan 20,000 sukarelawan pemilihan.

Berhubung beberapa masalah yang berlaku pada pemilihan kali ini dan langkah mengatasinya sebelum berlangsungnya pemilihan Majlis Tertinggi Sabtu ini, Najib berkata apa jua kelemahan dan kekurangan akan dijadikan panduan dan ditambah baik.