[TERKINI] Nahas Gerik: Bas Bawa Penuntut UPSI Dipandu Melebihi Had Laju Dua Kali Ganda – Semak Perincian MOT Di Sini
MALAYSIA

Demonstrasi anjuran Pemuda PH bantah Nick Adams jadi calon Duta AS ke Malaysia

Khalis Khadir 18/07/2025 | 10:25 MYT
Memorandum diserahkan pada Jumaat oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Izuan Mohd Kasim kepada wakil pegawai kedutaan di Kuala Lumpur. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Gabungan sayap pemuda parti politik menyerahkan satu memorandum bantahan terhadap pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.


Ringkasan AI
  • Memorandum bantahan diserahkan: Gabungan sayap pemuda parti politik dan NGO menyerahkan memorandum rasmi kepada Kedutaan AS, membantah pencalonan Nick Adams atas alasan retorik ekstrem, Islamofobia dan sokongan terhadap Zionisme yang bertentangan dengan nilai Malaysia.
  • Malaysia berhak menolak calon duta: Pemimpin seperti Izuan Kasim menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara berdaulat boleh menolak pencalonan diplomat asing tanpa perlu memberikan sebab, selaras dengan Konvensyen Vienna.
  • Risiko hubungan diplomatik dan prinsip negara: Pencalonan Adams mencetuskan kebimbangan terhadap keharmonian masyarakat majmuk dan hubungan dua hala Malaysia-AS, namun kerajaan digesa kekal berprinsip dalam mempertahankan nilai toleransi dan solidariti sejagat.


Memorandum diserahkan pada Jumaat oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Izuan Mohd Kasim kepada wakil pegawai kedutaan AS di ibu negara.

Himpunan diadakan selepas solat Jumaat anjuran AMK itu dihadiri kira-kira 70 peserta yang berkumpul sekitar kawasan kedutaan berkenaan.

Turut hadir, wakil Pemuda Parti Amanah Nasional (Amanah), DAP, IKRAM Muda, Pemuda Pertubuhan Demokrat Sosial, Young Diplomats of Malaysia, Malaysian Consultative Council of Islamic Organization dan Liga Pemuda Malaysia serta beberapa lagi pertubuhan.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu, Izuan berkata, pegawai kedutaan AS menyatakan komitmen mereka untuk membangkitkan kebimbangan yang dizahirkan kepada Washington.

“Pencalonan Adams adalah hak Trump tetapi di bawah Konvensyen Vienna, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat mempunyai kuasa untuk menolak mana-mana calon diplomatik asing, malah penolakan itu boleh dibuat walaupun tanpa sebab,” ujarnya.

Menurut salinan memorandum yang dikongsikan kepada media, "retorik memecahbelahkan" Adams antara alasan pakatan itu membantah pencalonannya.

Mereka juga memberi amaran, kenyataan Adams banyak menyinggung perasaan umat Islam di seluruh dunia dan ia berisiko menjejaskan persepsi orang ramai terhadap hubungan dua hala antara Malaysia dan AS.

“Kenyataan Adams yang kelihatan menolak kesaksamaan jantina dan kepekaan sosial juga adalah bertentangan dengan nilai inklusif Malaysia dan budaya saling menghormati.

“Kita tidak mahu penyokong Zionis seperti Nick ini dihantar ke Malaysia. Kita sudah lama bersama Palestin. Nick Adams bukan orang yang layak menjadi jambatan hubungan diplomatik antara dua negara,” ujarnya lagi.

Susulan itu, beliau dan beberapa pimpinan yang berucap menggesa Washington untuk menimbang calon lain yang lebih sederhana dan menghormati prinsip-prinsip sejagat dalam hubungan antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat berpandangan, isu pencalonan Nick Adams sebagai Duta AS ke Malaysia perlu melalui penelitian dan pertimbangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Tegas beliau, perkara itu akan ditangani dengan sewajarnya, selain pada waktu sama memelihara hubungan baik antara Malaysia dan AS.



#Angkatan Muda Keadilan #Nick Adams #duta amerika syarikat #Anwar Ibrahim