KUALA LUMPUR: Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merancang untuk mengadakan demonstrasi bantahan bagi menggesa kerajaan Malaysia memastikan operasi Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) tidak melanggar undang-undang antarabangsa.
Ia susulan perjanjian syarikat itu yang didakwa membekalkan oksida nadir bumi kepada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS).
Advertisement
Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet berkata, isu ini amat mustahak difikirkan rakyat kerana selama 15 tahun kerajaan Malaysia membenarkan Lynas beroperasi di sini dengan meninggalkan ratusan juta tan sisa radioaktif dan sisa terjadual.
“Kini diberikan pula lesen selama 10 tahun untuk terus beroperasi, malah membenarkan Lynas meningkatkan lagi kuota import bahan mentah atau 'feedstock' (lanthanide concentration).
“Yang amat merungsingkan ialah bahan 'feedstock' baharu ini mengandungi nadir bumi yang Amerika Syarikat gagal memperoleh daripada China,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini, gabungan 57 organisasi menggesa kerajaan Malaysia memastikan operasi oleh Lynas Rare Earths Ltd tidak melanggar undang-undang antarabangsa, susulan perjanjian syarikat itu untuk membekalkan oksida nadir bumi kepada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.
Bun Teet berkata, pada masa ini Malaysia memainkan peranan memenuhi kehendak AS.
Ini bermakna katanya, senjata yang menggunakan nadir bumi jenis berat itu digunakan dengan meluas dan tidak terkawal dalam peperangan yang sedang berlaku di Asia Barat, melibatkan peranan Malaysia secara tidak langsung.
“Ini dengan kata lain, Malaysia akan turut terlibat dalam pembunuhan di Asia Barat sesama agama dengan populasi majoriti di sini.
“Kerajaan Malaysia harus berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya perkara yang tidak diduga,” katanya.
Dalam hal ini beliau berkata, pihaknya sentiasa mempertahankan kesejahteraan alam sekitar demi membolehkan rakyat hidup dalam keadaan selesa dan selamat.
“Kini kerajaan secara tidak langsung melibatkan diri dengan Lynas dalam usaha AS menghasilkan senjata yang melibatkan penggunaan nadir bumi.
“Kami tidak menolak serta akan bertindak bersama NGO lain untuk menyampaikan suara rakyat dalam isu ini dalam masa terdekat,” katanya.