MALAYSIA
'Demonstrasi Bersih 2.0 hanya timbul kekalutan di ibu kota' - Ku Nan

KU NAN: 'Demonstrasi Bersih 2.0 hanya timbul kekalutan di ibu kota' - Gambar fail
Demonstrasi yang akan dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada akhir bulan ini hanya menimbulkan kekalutan di Kuala Lumpur.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ia sekali gus menimbulkan kemarahan penduduk serta peniaga di ibu kota.
"Peserta demonstrasi ini kebanyakannya orang luar, bukan orang Kuala Lumpur.
"Mereka sengaja menimbulkan kemarahan masyarakat kota selain mengganggu peniaga yang mencari rezeki," katanya semasa sidang media semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfirti DBKL di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, perhimpunan untuk kali keempat akan diadakan di tiga bandar raya berasingan pada 29 Ogos ini.
Jelasnya, himpunan itu akan diadakan secara serentak di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu bermula jam 2 petang hari Sabtu itu dan berakhir pada keesokan harinya.
Dalam pada itu kata Tengku Adnan, pihaknya juga akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan kegagalan demonstrasi itu.
"Kita akan pantau apa yang hendak dilakukan kumpulan ini nanti.
"Kita juga akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan tidak ada kerosakan di ibu kota pada hari itu kelak," ujarnya.
Bersih 2.0 sebelum ini mendesak 10 pembaharuan, antaranya termasuk dalam institusi pilihan raya, institusi Parlimen, menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) badan berperlembagaan yang menjawab kepada Parlimen.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah meminta Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam) Datuk Ambiga Sreenevasan menafikan dakwaan menyeru orang ramai menukar kerajaan melalui platform perhimpunan Bersih 4 yang dirancang Bersih 2.0.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami