[TERKINI] Hamas Serah 7 Tebusan Israel kepada ICRC di Gaza – Fasa Pertama Gencatan Senjata Bermula
MALAYSIA

Denda RM190,000 sebulan ke atas OEM jika Aerotrain gagal beroperasi

Astro Awani 13/10/2025 | 02:35 MYT
Hasbi berkata sebanyak 19 insiden kecil direkodkan melibatkan sistem semboyan atau signalling, termasuk kes penumpang yang cuba memaksa pintu tren dibuka secara manual. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenakan penalti maksimum RM190,000 sebulan terhadap pengeluar asal peralatan (OEM) sekiranya sistem Aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) gagal mencapai tahap prestasi yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, pihak OEM perlu memastikan tahap ketersediaan tren mencapai 100 peratus bagi operasi satu tren dan sekurang-kurangnya 99.5 peratus bagi operasi dua tren serentak.

“Kerajaan hendak ia berjalan 100 peratus, (jika tidak) penalti maksimum RM190,000 sebulan dikenakan jika gagal dipenuhi. Jadi (perkhidmatan) mereka mesti cemerlang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Hasbi berkata demikian menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung mekanisme penalti terhadap OEM dan jaminan kerajaan bagi mengelak insiden gangguan Aerotrain berulang di KLIA.

Beliau menjelaskan, projek Aerotrain itu siap sepenuhnya pada 30 Jun 2025 dan mula beroperasi pada 1 Julai 2025, dan kini berada dalam tempoh liabiliti kecacatan selama dua tahun.

Menurutnya, antara 2 Julai dan 30 September, sebanyak 19 insiden kecil direkodkan, kebanyakannya melibatkan sistem semboyan atau signalling, termasuk kes penumpang yang cuba memaksa pintu tren dibuka secara manual.

“Pembaikan dilaksanakan segera dengan pegawai dan juruteknik ditempatkan di lokasi bagi memastikan sebarang masalah dapat dibaik pulih serta-merta,” kata Hasbi.

Tambahnya, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) terus bekerjasama rapat dengan pengeluar sistem, Alstom, bagi memastikan kelancaran dan kestabilan operasi Aerotrain.

Setakat 8 Oktober, Aerotrain mencatat ketersediaan perkhidmatan sebanyak 99.19 peratus sejak mula beroperasi, dengan operasi 100 peratus direkodkan pada minggu ke-13 dan 14, antara 28 September hingga 10 Oktober.

Aerotrain juga telah mengangkut lebih 5.33 juta penumpang dan mencatat jarak perjalanan melebihi 39,942 kilometersejak mula beroperasi.







#KLIA #aerotrain #Dewan Rakyat #Hasbi Habibollah