MALAYSIA

Denda RM3.81 juta bagi kesalahan alam sekitar tahun ini - JAS Johor

Bernama 24/12/2025 | 14:15 MYT
Dr Mohd Famey berkata mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap individu serta pihak bertanggungjawab yang disabitkan kesalahan berkaitan alam sekitar. - Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Jumlah denda yang dikenakan oleh mahkamah bagi kesalahan alam sekitar di Johor tahun ini mencecah RM3.81 juta, manakala hukuman penjara terkumpul adalah selama satu tahun empat bulan bagi kes yang disabitkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta peraturan-peraturan di bawahnya.


Ringkasan AI
  • Mahkamah di Johor telah mengenakan denda sebanyak RM3.81 juta tahun ini bagi kesalahan alam sekitar, dengan hukuman penjara selama satu tahun empat bulan turut dikenakan.
  • Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Mohd Famey Yusoff, menyatakan bahawa hukuman tersebut bertujuan untuk memberi kesan pencegahan yang jelas dan menghalang pengulangan kesalahan alam sekitar.
  • Pemilik premis dan pengusaha industri digesa untuk mematuhi undang-undang alam sekitar, memastikan sistem kawalan pencemaran berfungsi dengan baik, dan mendapatkan khidmat nasihat teknikal daripada JAS bagi memastikan pematuhan yang berterusan.


Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Dr Mohd Famey Yusoff berkata mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap individu serta pihak bertanggungjawab yang disabitkan kesalahan berkaitan alam sekitar.

"Hukuman yang dijatuhkan merangkumi penjara sehingga 16 bulan berserta denda, serta denda sehingga RM450,000, termasuk pelaksanaan hukuman penjara bergantung kepada tahap keseriusan dan pengulangan kesalahan.

"Pelaksanaan hukuman ini bertujuan memberi kesan pencegahan yang jelas serta menghalang pengulangan kesalahan, khususnya bagi kesalahan serius dan berulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Famey berkata pihaknya akan terus memberi keutamaan kepada penguatkuasaan kesalahan di bawah Seksyen 34A, Seksyen 34B dan Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang melibatkan pencemaran serius serta pengurusan bahan berbahaya tanpa kelulusan.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pemilik premis dan pengusaha industri supaya mematuhi peruntukan undang-undang, memastikan sistem kawalan pencemaran berfungsi dengan berkesan serta mendapatkan khidmat nasihat teknikal daripada JAS bagi memastikan pematuhan berterusan.

"Pematuhan undang-undang alam sekitar bukan sahaja kewajipan perundangan, tetapi juga tanggungjawab bersama bagi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat," katanya

Beliau turut memohon kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat dan aduan menerusi talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam, e-mel aduan_k@doe.gov.my atau portal e-Aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

-- BERNAMA



#Jabatan Alam Sekitar #hukuman penjara #pengusaha industri #khidmat nasihat