[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Dendam motif pembunuhan lelaki Myanmar di Tasek Gelugor - Polis

Bernama 24/03/2025 | 08:40 MYT
Dendam dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang lelaki warga Myanmar di Taman Sepadu Jaya, Tasek Gelugor. -Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Dendam dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang lelaki warga Myanmar yang diserang dan ditetak di sebuah restoran di Taman Sepadu Jaya, Tasek Gelugor dalam insiden awal pagi 7 Mac.

Ringkasan AI
  • Dendam dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang lelaki warga Myanmar di Taman Sepadu Jaya, Tasek Gelugor.
  • Polis telah menahan lapan lelaki dan sedang mengesan suspek utama yang terlibat dalam kes ini.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata dendam itu berpunca daripada perselisihan faham antara lelaki berusia 38 tahun itu dan keluarganya, dengan sekumpulan individu lain termasuk penyerang terlibat.
"Siasatan mendapati perkara itu melibatkan mangsa dan keluarganya yang berada di sini (Tasek Gelugor) dan negara asal menyebabkan suspek menyerang lelaki tersebut.
"Setakat ini polis telah menahan lapan lelaki berusia antara 30 hingga 40-an terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing selain giat mengesan suspek utama yang telah dikenal pasti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Hamzah tidak menolak kemungkinan beberapa lagi tangkapan akan dibuat bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Sebelum ini media melaporkan seorang pekerja restoran warga Myanmar maut akibat ditetak selepas diserang empat lelaki bersenjatakan parang dan memakai topi serta penutup muka dalam insiden pada 3.20 pagi 7 Mac.
-- BERNAMA
#Myanmar #dendam #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #Taman Sepadu Jaya Tasek Gelugor