Skip to main content

Malaysia

Dendam nombor ramalan motif lelaki bakar wanita di Kepong

KUALA LUMPUR, 19 Ogos -- Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus bercakap pada sidang media ketika Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus bercakap pada sidang media ketika Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dendam peribadi berkaitan nombor ramalan menjadi motif utama tindakan nekad seorang lelaki membakar seorang wanita di sebuah premis nombor ramalan di Kepong, pada 9 Ogos lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata suspek lelaki tempatan berumur 59 tahun itu ditahan di Kepong semalam, dan permohonan reman terhadapnya akan dilakukan hari ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kejadian itu disifatkan sebagai keganasan ekstrem kerana mengakibatkan mangsa berumur 62 tahun yang bekerja sebagai penjaga kaunter premis berkenaan melecur kira-kira 50 peratus pada badan dan masih tidak sedarkan diri.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek mengenali mangsa dan motif kejadian pada 8 pagi itu dipercayai kerana dendam peribadi berkaitan nombor ramalan. Siasatan masih dijalankan untuk melengkapkan semua bukti sebelum kes dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Fadil berkata polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam kejadian itu, termasuk bekas berisi bahan bakar dan sebuah basikal bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Polis Kuala Lumpur merampas hampir 80 kilogram (kg) methamphetamine dan 30 kg ekstasi dalam serbuan di Brickfields di sini pada 9 Ogos lepas melibatkan rampasan keseluruhan serta sitaan bernilai kira-kira RM8.3 juta.

Operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berumur 36 tahun.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek ialah warga Vietnam yang memiliki pasport Kanada, namun polis masih menjalankan semakan lanjut bagi mengesahkan kewarganegaraan sebenar. 

"Suspek bersama beberapa individu lain yang masih bebas dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak awal tahun ini, manakala premis yang diserbu disyaki digunakan sebagai tempat menyimpan dan mengedar dadah," katanya. 

Fadil berkata suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman selama 11 hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Selain dadah, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Proton X50 bernilai kira-kira RM85,000 mengikut ADB (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembekal dipercayai berasal dari luar Kuala Lumpur selain mengesan orang tengah serta individu lain yang terlibat dalam rangkaian pengedaran tersebut," katanya. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement