MALAYSIA

Dengan pengukuhan integriti dan tadbir urus, lebih banyak dana tiris boleh dikembalikan - PM Anwar

Ernalisa Othman 26/01/2026 | 10:30 MYT
Perdana Menteri hadir pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-44 Tahun 2026 di Cyberjaya hari ini. - Foto Bernama
CYBERJAYA: Kerajaan yakin masih terdapat ketirisan dana dalam jumlah yang besar melebihi RM15.5 bilion yang berpotensi untuk dikutip semula sekiranya usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus terus dipertingkatkan dalam perkhidmatan awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun ramai pegawai kerajaan menunjukkan prestasi cemerlang, masih terdapat elemen kelemahan dan kepincangan dalam sesetengah agensi, terutama yang terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang, yang menyebabkan ketirisan berlaku.

"Kelemahan dalam sistem agensi kerajaan membuka peluang kepada pihak tertentu untuk mengeksploitasi kelompongan tersebut dan mengakibatkan kehilangan dana rakyat yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan awam.

"Melalui kerjasama erat antara semua agensi, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebagai tonggak utama, serta bantuan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerajaan berjaya mengutip tambahan RM15.5 bilion dalam tempoh lebih dua tahun, hasil daripada dana yang sebelum ini dirompak.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa bangga dengan pencapaian JKDM. Dalam tempoh dua tahun lebih, kita berjaya mengumpulkan tambahan RM15.5 bilion. Ini adalah hak rakyat yang sebelum ini hilang kerana sistem kita belum cukup mantap, membuka ruang kepada kelompok tertentu mengambil kesempatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-44 Tahun 2026 di Cyberjaya pada Isnin.

Beliau menegaskan bahawa jumlah tersebut masih belum mencukupi, dan cabaran untuk mengembalikan lebih banyak dana tetap wujud.

“Kalau ditanya saya, adakah ini mencukupi? Jawapan saya tidak. Jumlah RM15.5 bilion itu hanyalah permulaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan dan semua warga Kastam, sebagai satu keluarga, harus menerima cabaran untuk mengembalikan dana yang hilang, tiris atau dicuri, sekali gus menyelamatkan kepentingan bangsa dan negara.

Beliau turut menasihati warga JKDM agar tidak berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya terus mempertingkatkan kecekapan, integriti dan mutu kerja sebagai teras utama perkhidmatan.

Menurutnya, walaupun ekonomi negara menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dan ringgit semakin mengukuh, pencapaian tersebut masih belum mencukupi untuk meningkatkan martabat Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Beliau menegaskan bahawa perubahan sikap, kesediaan menerima realiti baharu, serta semangat untuk mempertingkatkan mutu kerja adalah prasyarat penting dalam memastikan negara terus maju dalam era ekonomi kompetitif.












#Kutipan dana tidak mencukupi #PM yakin mampu kutip lebih banyak dana #Banyak dana masih hilang #Semu perlu kerjasama #terkini