Dera dua beradik: Ibu dan nenek saudara direman empat hari bantu siasatan

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 28, 2022 05:02 MYT
Dua kanak-kanak itu kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara siasatan kes berjalan. - Foto ihsan pembaca
GEORGE TOWN: Dua wanita ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes penderaan dua orang kanak-kanak di Air Itam, Pulau Pinang semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, perintah reman kedua-dua suspek yang juga ibu dan nenek saudara mangsa bermula hari ini sehingga 31 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya kedua-dua suspek berusia 28 dan 52 tahun itu ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru.
"Siasatan lanjut bagi mengetahui punca dan tempoh masa kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun itu didera sedang dijalankan.
"Dua kanak-kanak itu kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara siasatan kes berjalan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
BACA: Polis selamatkan dua beradik disyaki mangsa dera, tahan ibu dan nenek saudara
Pada Jumaat polis menahan dua wanita berkenaan selepas menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki tempatan yang melihat satu hantaran di Facebook (FB) menunjukkan foto dua kanak-kanak sedang makan di restoran dengan kesan kecederaan di muka.
Lelaki itu yang mengesyaki kanak-kanak itu menjadi mangsa dera, telah tampil membuat laporan di Balai Polis Air Itam.
Susulan itu pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut menyerbu sebuah rumah flat di kawasan Air Itam pada jam 11.15 pagi Jumaat dan berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak terbabit .
Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa menemukan kesan luka dan lebam di bahagian muka serta badan disyaki akibat penderaan.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Timur Laut di talian 04-2181822 atau tampil ke balai polis berhampiran.
#dera #dua beradik Air Itam #Soffian Santong #Ketua Polis Daerah Timur Laut