Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan bekas majikan Nirmala Bonat membayar ganti rugi RM129,147.20 kepada pembantu rumah warga Indonesia itu kerana mendera dan mencederakannya, 10 tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S.Hassan Badjenid membenarkan saman Nirmala serta memerintahkan Yim Pek Ha dan suaminya Hii Ik Ting selaku defendan membayar kos RM10,000 kepada wanita yang berasal dari Desa Tuapakas di Kota Kupang, Indonesia itu.

Siti Khadijah membuat keputusan itu selepas mendapati Nirmala berjaya membuktikan kesnya terhadap kedua-dua defendan.

Jumlah ganti rugi yang diterima Nirmala meliputi kecederaan di bahagian kedua-dua payudaranya, bahagian belakang, kecederaan di parut, lengan, kepala, muka, mulut, hidung dan tekanan emosi yang dialaminya.

Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan Nirmala bagi mendapatkan ganti rugi berhubung perbelanjaan perubatan, kehilangan kebolehan mencari pendapatan dan perbelanjaan pengangkutan kerana tidak dibuktikan oleh plaintif (Nirmala).

Dalam penghakiman bertulis yang diedar kepada media, Siti Khadijah berkata Nirmala mengalami kecederaan fizikal dan ia jelas berdasarkan keterangan dan kecederaan teruk serta kesengsaraan yang ditanggung secara semula jadi, menyebabkan wanita itu mengalami tekanan emosi pada masa kejadian.

"Sebagai manusia sesiapa sahaja dapat membayangkan kesakitan yang ditanggung apabila seterika panas diletak pada kedua-dua belah payudaranya dan bahagian belakang.

"Nirmala juga menanggung kesakitan setiap kali memakai baju dan colinya dan beliau sakit apabila luka itu terkena air semasa mandi dan tidak mendapat rawatan selain memakan panadol sahaja," katanya.

Pesuruhjaya kehakiman itu berkata Nirmala bukan sahaja menanggung kesakitan tetapi menanggung malu apabila bahagian sulitnya terpaksa dipaparkan kepada umum termasuk kepada jurugambar, mahkamah dan sebagainya.

Turut hadir pada prosiding hari ini Yim yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di penjara Kajang dan suaminya. Kedua-dua mereka diwakili peguam Chan Vy Sing dan peguam Lam Cheng Wun.

Bagaimanapun Nirmala yang diwakili peguam M. Kavimani tidak hadir.

Pada 28 Jan 2010, Nirmala, 29, memfailkan saman terhadap Yim, 46, dan Hii, 48, selepas mendakwa didera dan dicederakan beberapa kali oleh Yim, antaranya dengan menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya pada Jan 2004.

Wanita itu, yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan terbabit yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Dr Ismail di sini pada Sept 2003, mendakwa Hii pula telah gagal menghalang isterinya daripada mencederakannya serta gagal memberikannya rawatan perubatan sewajarnya.

Nirmala menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Pada 1 Okt 2012, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Yim, yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala.