Derita 8 cincin tersangkut di jari

Astro Awani
Julai 26, 2020 02:13 MYT
Anggota bomba mengambil masa tiga jam untuk menanggalkan lapan bentuk cincin yang tersekat pada jari tangan kiri dan kanan lelaki itu. -Foto JBPM
Seorang lelaki menderita kesakitan apabila lapan cincin yang dipakai di jari kedua-dua belah tangannya tidak dapat dibuka.
Anggota bomba mengambil masa tiga jam untuk menanggalkan lapan bentuk cincin yang tersekat pada jari tangan kiri dan kanan lelaki itu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan daripada pihak hospital pada jam 3.56 pagi Ahad bagi membantu lelaki itu yang dipercayai seorang gelandangan susulan tiada peralatan khusus untuk memotong cincin berkenaan.
"Seramai empat anggota digerakkan ke hospital berkenaan untuk memotong cincin yang tersangkut di jari lelaki terbabit.
"Sampai di lokasi, pihak hospital memberitahu terdapat lapan bentuk cincin di jari tangan kanan dan kiri seorang lelaki berumur 41 tahun," katanya dalam satu kenyataan.
Anggota bomba akhirnya berjaya memotong lapan bentuk cincin itu menggunakan peralatan khas dalam operasi yang mengambil masa lebih tiga jam.
"Lelaki berkenaan berada dalam keadaan selamat dan stabil," kata kenyataan itu lagi.
#Hospital Tengku Ampuan Rahimah #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #lapan cincin #tersangkut di jari