KUALA LUMPUR:Takut…

Itu stigma yang sering dikaitkan dengan aktiviti menderma darah.

Malah, realitinya itu mungkin perkara pertama yang berlegar di fikiran setiap kali kita mahu menderma darah.

Dek kerana rasa takut yang menebal, hasrat untuk menjalankan tanggungjawab sosial itu mungkin terpaksa ditangguhkan.

Namun, sedarkah kita bahawa nilai setitik darah itu cukup besar bagi mereka yang sangat-sangat memerlukan?

Bagi Noor Sham Salleh, lahir sedikit rasa terkilan dalam dirinya kerana pada usia 53 tahun, beliau baru memiliki kekuatan untuk bergelar penderma darah.

Menipu jika tidak takut, tetapi usaha murni untuk menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan mengatasi segala-galanya.

“Saya rasa setiap manusia mesti rasa takut jarum… takut untuk menderma darah atau tidak tahu nak jangka (keadaan) darah kita macam mana.

“Tetapi apabila saya mula (menderma darah), saya tak rasa apa-apa pun. Jururawat tadi tunjuk darah saya sudah hampir penuh dah satu beg.

“Sebenarnya, saya rasa agak ralat sebab umur sudah meningkat tetapi saya baru pertama kali menderma darah. Insya-Allah kalau Tuhan bagi rezeki, saya akan terus menderma.

"Jadi, lebih bagus kalau siapa yang masih muda sila datang, tak sakit sangat pun. Saya yang penakut ini pun boleh buat," kata bekas wartawan akhbar tempatan itu.

Azhan (gambar) mengambil inisiatif meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan menderma darah

Menyedari betapa pentingnya kesedaran untuk menderma darah, pelakon, Azhan Rani, 44, mengambil inisiatif mengumpulkan kenalannya untuk sama-sama hadir ke Pusat Darah Negara (PDN).

Sebagai penderma aferesis, Azhan yang sudah 35 kali menderma darah berkata, beliau sekali pun tidak pernah mendepan kesan sampingan.

"Saya ada pengalaman menjaga arwah bapa di hospital selama berbulan-bulan dan kita lihat orang lain yang sangat kritikal memerlukan bekalan darah, tetapi bekalan darah tiada atau masa kita ada darah, kita tidak boleh hendak menderma.

"Bukan semua orang boleh menderma darah dalam setiap masa. Dia bergantung kepada kesihatan dan gaya hidup dan sebagainya. Jadi, ini adalah sangat penting sebenarnya untuk kita membangkitkan kesedaran betapa penting membantu orang," katanya.

Terkenal dengan watak Ustaz Hamadi menerusi drama Nur 1 dan Nur 2, Azhan berkata stigma yang sering dikaitkan dengan pendermaan darah perlu dihakis.

Gambar - Astro AWANI

Sementara itu, Pengarah Summit Attack Resources, Mohd Fakhrul Munir, 39, berkata, walaupun dalam tempoh PKP, urusan untuk menderma darah berjalan lancar dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh PDN.

"Seperti mana yang kita sedia maklum, PDN sendiri memaklumkan memang stok bekalan tabung (darah) berkurangan. Jadi cabaran untuk mengumpulkan kawan-kawan yang jauh di luar kawasan. 

"Tetapi kita cuba terangkan kepada rakan-rakan bahawa tidak ada halangan dan masalah dan kita dibantu sendiri oleh PDN yang menyediakan dokumen sokongan dan kita keluarkan surat sokongan untuk mengalakkan lagi mereka," katanya.