NATIONAL
Derma tanah wakaf Masjid Ar-Ridzuan, umat Islam perlu waspada sebelum sumbang - MB
Saarani berkata ini kerana kemungkinan terdapat segelintir individu yang mengambil kesempatan terhadap isu tersebut. - Gambar fail/Sinar Harian
IPOH: Umat Islam di negeri ini perlu berwaspada dengan hanya menyalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab bagi sumbangan membantu menebus kembali sebahagian tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai yang kini dimiliki oleh individu bukan Islam.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ini kerana kemungkinan terdapat segelintir individu yang mengambil kesempatan terhadap isu tersebut.
"Perkara ini sentiasa berlaku, apabila ada pihak memungut derma atas nama kebajikan maka akan ada orang lain yang ambil kesempatan untuk memerangkap mereka (penderma).
"Kita harap orang ramai berhati-hati kerana dibimbangi hasrat mereka untuk menderma tersasar. Untuk urusan (derma) itu, pihak yang bertanggunggjawab adalah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) serta pihak masjid itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Inisiatif Buku Rujukan Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Program Tuisyen Cikgu Saarani di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Sebanyak RM1.8 juta diperlukan bagi menyelamatkan sebahagian tanah masjid berkenaan berkeluasan 0.61 hektar yang dimiliki seorang individu bukan Islam susulan tanah yang sebelum ini diwakaf untuk pembinaan masjid telah dijual oleh cucu pewakaf.
Bagaimanapun, dilaporkan pemilik berkenaan telah bersetuju menjual semula tanah tersebut dan susulan itu kerajaan negeri memutuskan untuk menggunakan wang kutipan derma solat Jumaat dari seluruh negeri bagi membeli semula sebahagian tanah terbabit.
Sementara itu, mengenai program inisiatif buku rujukan itu, Saarani berkata 52,000 set buku rujukan tambahan melibatkan enam mata pelajaran teras akan disumbangkan secara percuma kepada pelajar terpilih di seluruh Perak.
Beliau berkata enam mata pelajaran itu adalah Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam dan Sains.
"Buat masa ini, dua subjek wajib lulus iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah telah diedarkan secara percuma oleh panel guru berpengalaman, mengikut format peperiksaan terkini dan menekankan penguasaan konsep serta teknik menjawab.
"Sebagai kesinambungan, empat lagi buku rujukan bagi Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam dan Sains kini dalam proses penerbitan dan akan diedarkan dalam masa terdekat," katanya.
-- BERNAMA