Kerajaan bercadang mewujudkan Desa Digital bagi meningkatkan tahap capaian internet di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu akan dapat membantu usahawan luar bandar meluaskan perniagaan dalam talian mereka.

"Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk kita lancarkan bersama nanti Desa Digital bertujuan meningkatkan capaian internet di kawasan tersebut," katanya dalam sidang media selepas Bicara Komuniti TN50, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pelancaran inisiatif berkenaan hanya akan diumumkan selepas perbincangan lanjut diadakan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Jelasnya, kesukaran memasarkan produk adalah isu paling besar dihadapi usahawan luar bandar ketika ini.

Justeru melalui Desa Digital, ia diharap dapat meluaskan rangkaian perniagaan mereka dan seterusnya membolehkan produk dipasarkan melalui usaha meningkatkan capaian internet.

"Desa Digital ini lebih kepada internet penetration sebab kita cakap soal perniagaan dalam talian. Kita telah buat kursus usahawan desa melalui online, tetapi kalau tiada internet, tiada makna juga.

"Ini kerana isu besar luar bandar ialah isu memasarkan produk. Dalam hypermarket, (mereka) sukar untuk masuk walaupun kerajaan sudah mensyaratkan 30 peratus produk dalam hypermarket itu mestilah (produk) usahawan tempatan," ujarnya.