Sekumpulan 22 bakal jemaah umrah yang akan berlepas pada pertengahan Disember ini menuntut penjelasan sebuah agensi pelancongan dan umrah yang didakwa mereka menipu berhubung harga pakej ditawarkan.

Antara lain, mereka mengakui kecewa apabila diminta membuat bayaran tambahan sebanyak dua kali pada saat-saat akhir sebelum berangkat.

Salah seorang bakal jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Lin berkata, dia dan keluarga tertarik dengan pakej tawaran iklan RM5,990, 12 hari, 10 malam bersama sebuah pesawat tambang murah beserta hotel yang hanya 50 meter dari Masjidil Haram sebagaimana disiarkan di sebuah akhbar tempatan pada tahun lepas sebelum membuat keputusan menggunakan khidmat agensi tersebut.

"Malangnya, mereka (pihak agensi) meminta setiap daripada kami menambah RM400 apabila kami selesai membuat bayaran awal, kesemuanya berjumlah RM134,190. Alasannya, mereka terpaksa menampung kerugian kerana aliran jatuh tukaran RM dan wang Riyal.

"Apa yang mengecewakan kami sekeluarga, selepas selesai bayaran tambahan RM400 setiap seorang itu, mereka hubungi kami dan meminta tambahan lagi RM200 setiap seorang,'' katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Lin, secara keseluruhannya, pakej yang diambil bukan lagi berharga RM5,990 sebagaimana diiklankan, sebaliknya berjumlah RM6,590 setiap seorang.

Sementara seorang lagi bakal jemaah mempersoalkan kenapa di peringkat awal mereka tidak meminta bayaran sekaligus sebanyak RM600 tetapi meminta pembayaran dua peringkat dengan kali kedua adalah pada saat-saat akhir sebelum berlepas.

"Kami sudah pasti akan membuat pembayaran itu, tetapi apa yang dipertikaikan ialah kami berasa seperti teraniaya dan mengesyaki ada unsur-unsur penipuan apabila terpaksa membuat penambahan bayaran daripada pakej asal RM5,990.

"Mereka ada benarkan kami membuat pilihan jika mahu menarik diri, tetapi apabila tawaran itu dibuat di saat-saat akhir dan ditambah pula semua dokumen dihantar lengkap dan cuti pula sudah diluluskan, kami seolah-olah tiada peluang untuk menarik diri sekali gus mencari agensi lain jika mahu menerima kami,'' kata Taufeq.

Sehubungan itu, mereka mahu agensi berkenaan, yang beribu pejabat di Johor memberi penjelasan dan menjawab dakwaan jika benar wujud unsur penipuan.

Sementara itu, sumber Majlis Jawatankuasa Pengendalian Umrah yang dihubungi pula berkata, agensi berkenaan dianggap melakukan penipuan jika akad dibuat adalah berdasarkan harga asal.

"Sebarang wang tambahan tidak boleh dikenakan jika sudah dipersetujui harga tertentu semasa membuat bayaran,'' kata sumber itu.

Jawatankuasa Khas itu yang ditubuhkan pada 2014 bermatlamat menangani penipuan kes pakej umrah sebelum ini menetapkan harga minimum pakej umrah 12 hari, 10 malam adalah berjumlah RM4,900, dan harga lebih rendah daripada itu adalah satu penipuan.