Desakan buka Parlimen: Ahli politik tak boleh ada agenda tersembunyi - Hishammuddin

Azyyati Ahmad
Jun 16, 2021 04:03 MYT
HISHAMMUDDIN: Agenda negara kita jauh lebih penting berbanding cita-cita peribadi sesiapa jua. - Media H20
KUALA LUMPUR: Desakan politik agar Parlimen dibuka semula tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi dan seruan agar Parlimen kembali bersidang tidak boleh dijadikan alat pemuas nafsu politik sesetengah individu.
Itu antara tiga perkara utama yang suarakan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein susulan desakan segelintir pemimpin politik agar Parlimen kembali bersidang dan sesetengah mendakwa mereka mempunyai angka yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan baharu.
Dalam hantaran terbaharu di Hishammuddin.com.my, beliau menggariskan tiga perkara utama yang perlu difokuskan sekiranya Parlimen dibuka semula.
Pertama adalah, desakan politik agar Parlimen dibuka semula tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi.
“Usaha-usaha sebegini bukan baru. Kita telah melihatnya berulang kali selama bertahun-tahun - terbaru pada September 2020. Mereka terlalu taksub pada angka yang 'kukuh, hebat, meyakinkan' – sehinggakan, ia meresap ke dalam pelbagai senario serta cuba meyakinkan semua orang bahawa mereka bersatu, dengan harapan dapat meneruskan agenda untuk kembali berkuasa,” katanya.
Kedua, ahli-Ahli Parlimen yang kuat mendesak agar persidangan diadakan, mesti mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan persidangan Parlimen yang disambung semula nanti dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan Malaysia dan rakyat terutama dalam pengurusan COVID-19.
“Agenda negara kita jauh lebih penting berbanding cita-cita peribadi sesiapa jua. Satu-satunya harapan rakyat Malaysia ketika ini ialah jalan keluar daripada krisis ini dan ia merupakan tanggungjawab kita sebagai Ahli-Ahli Parlimen. Rakyat mahu jumlah kes diturunkan, nyawa diselamatkan dan ekonomi dipulihkan,” jelasnya.
Ketiga, situasi yang sedang kita hadapi sekarang sangat luar biasa - kita berdepan gabungan krisis kesihatan, krisis ekonomi dan ketidakstabilan politik secara serentak. Berpolitik sepanjang masa merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Di kala Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya mengemukakan Pelan Pemulihan Negara yang bermatlamat membawa negara keluar daripada pandemik – kita semua perlu menyokong, bukannya skeptikal. Pelan tersebut hanya akan berhasil sekiranya semua parti bekerjasama mencari jalan keluar daripada pandemik.
“Jika kita fokus terhadap tanggungjawab dan berkongsi tekad yang sama, maka saya percaya kita boleh memenuhi harapan bersama,” katanya.
Tegas Hishammuddin, secara prinsipnya beliau bersetuju bahawa Parlimen penting sebagai ruang semak dan imbang kepada Kerajaan.
“Saya percaya, dalam mempertimbangkan ketiga-tiga pandangan saya ini, wujudnya satu syarat yang mana kita perlukan kestabilan. Kestabilan ini mungkin membolehkan Parlimen dibuka semula. Kestabilan ini juga mungkin akan memberikan hak kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk bertanya soalan dan Kerajaan untuk menjawab ketika sesi persidangan,
“Tetapi yang paling mustahak, kestabilan ini mestilah tidak dirampas,” katanya
Bagaimanapun, rayu Hishammuddin kestabilan yang diminta itu dapat dilakukan semua ahli politik sekurang-kurangnya sehingga krisis COVID-19 berakhir.
Tambahnya, di saat yang menguji ini, rakyat tidak sepatutnya sekali lagi diheret dalam kancah perebutan kuasa.
“Setiap pihak mesti mengamalkan pembaharuan dalam berpolitik dan bukannya masih dengan amalan politik tanpa batas.
“Masyarakat umum juga perlu faham bahawa ia tidak semudah membuka dewan dan duduk.
“Memandangkan kerajaan sedang meneliti kemungkinan sesi parlimen diadakan secara ‘hibrid’ – justeru, kerajaan perlu diberi ruang untuk membuat pertimbangan serta merancang kaedah dan proses demi memastikan setiap prosiding berjalan lancar,” katanya lagi.
#Hishammuddin Hussein #Parlimen #COVID-19 #pandemik #Menteri Luar #Pelan Pemulihan Negara #rakyat Malaysia