MALAYSIA

Dewan hotel tiba-tiba terbakar, majlis makan malam bertukar tragedi

Sinar Harian 24/12/2025 | 16:08 MYT
Lebih 1,000 kakitangan sebuah syarikat pembersihan yang menghadiri majlis makan malam di sebuah hotel di Bukit Katil bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas berlaku kebakaran di dewan hotel berkenaan pada malam Rabu. - Sinar Harian
MELAKA: Lebih 1,000 kakitangan sebuah syarikat pembersihan yang menghadiri majlis makan malam di sebuah hotel di Bukit Katil di sini bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas berlaku kebakaran di dewan hotel berkenaan pada malam Rabu.


Ringkasan AI
  • Lebih 1,000 kakitangan syarikat pembersihan melarikan diri menyelamatkan diri selepas kebakaran berlaku di dewan hotel di Bukit Katil. Majlis makan malam sedang berlangsung ketika kejadian berlaku pada malam Rabu.
  • Semua tetamu dan kakitangan berjaya selamat keluar dari dewan sebelum kebakaran merebak. Seorang individu dibawa ke hospital kerana sesak nafas akibat terdedah kepada bahang panas.
  • Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menerima panggilan kecemasan pada jam 8.14 malam. Jentera dari BBP Bukit Katil segera tiba di lokasi untuk memadamkan kebakaran yang masih dalam operasi.


Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu, dewan berkenaan dilaporkan terbakar ketika majlis sedang berlangsung, namun kesemua tetamu dan kakitangan sempat mengosongkan dewan dan berada dalam keadaan selamat.

Difahamkan, seorang individu dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan selepas mengalami sesak nafas akibat terdedah kepada bahang panas.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafidzatullah Rashid, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.14 malam.

“Kebakaran melibatkan bahagian dewan hotel berkenaan. Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil telah dikerahkan ke lokasi dan tiba tidak lama selepas panggilan diterima,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini, operasi pemadaman kebakaran masih dijalankan.


#dewan terbakar #Makan Malam #hotel di Bukit Katil #Melaka