KUALA LUMPUR: Sesi penggulungan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique terganggu seketika apabila beberapa Ahli Parlimen meminta jawapan berhubung isu melibatkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Asakan demi asakan daripada Ahli Parlimen khususnya daripada pembangkang membuatkan Dewan kecoh malah ia berlanjutan sehingga lebih 10 minit.

RSN Rayer (PH - Jelutong) merupakan yang terawal bangun, meminta penjelasan Halimah terutamanya melibatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Mitra.

Begitupun, Halimah menegaskan beliau telah dinasihatkan SPRM untuk tidak menjawab kerana bimbang mengganggu siasatan.

Jawapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa Ahli Parlimen termasuk M Kulasegaran (PH - Ipoh Timur) yang terus meminta menteri menjawab persoalan tersebut.

“Saya maklumkan nasihat, saya bukan kata SPRM mengarahkan saya, mengarahkan menteri tidak menjawab.

“Memanglah saya tahu SPRM tidak boleh arahkan saya jawab sesuatu dalam Parlimen,” katanya.

Rayer kemudian membalas dan berlaku pertikaman lidah antara mereka.

Rayer: “Jadi boleh jawablah?”

Halimah: “Duduklah, jangan ganggu…”

Rayer: “Saya tak ganggu…”

Halimah: "Kalau bangun banyak kali, itu mengganggu sayalah…”

Ikuti perkembangan dan corat-coret sidang Parlimen di sini

Dewan Rakyat kecoh ketika Menteri Perpaduan Negara menjawab soalan

Dewan terus kecoh selepas itu dan dalam penggulungannya, Halimah menegaskan beliau tidak takut untuk menjawab soalan itu dan bukan juga bersifat defensif.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan kira-kira 337 syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disiasat berhubung dakwaan penyelewengan geran peruntukan bernilai RM203 juta yang dikeluarkan oleh Mitra sejak 2019.

SPRM memberitahu, pasukan itu kini sedang meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran berkenaan dari 2019 hingga 2021.

Katanya, peruntukan paling tinggi yang diluluskan oleh Mitra ialah pada tahun 2019 iaitu melebihi RM90 juta.