KUALA LUMPUR: Draf Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) berkaitan Antilompat Parti mempunyai tiga elemen utama iaitu Ahli Parlimen keluar parti; Ahli Parlimen dipecat dari parti dan Ahli Parlimen bebas sertai mana-mana parti, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Ketika menjawab soalan Datuk John Ambrose dalam sesi pagi ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berdasarkan sesi libat urus, majoriti Ahli Parlimen bersetuju dengan draf tersebut.

Jelasnya lagi, melalui penguatkuasaan undang-undang ini, tindakan lompat parti dapat dicegah dengan pelaksanaan pilihan raya semula bagi memastikan mandat dikembalikan kepada rakyat sekiranya berlaku tindakan melompat parti.

“(Bagi definisi) Ahli Parlimen keluar dari parti seseorang - Ahli Parlimen yang telah memenangi mana-mana kerusi Parlimen mengumumkan keluar dari parti dengan menyatakan bahawa beliau Ahli Parlimen Bebas atau menyertai mana-mana parti politik yang lain, dikira sebagai melompat parti.

“(Bagi definisi) Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti -seseorang Ahli Parlimen yang telah memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti juga dikira sebagai melompat parti.

“Ini bagi tujuan untuk memastikan Ahli Parlimen patuh kepada Perlembagaan, peraturan serta disiplin parti. Parti yang memecat Ahli Parlimen akan berhadapan risiko kehilangan kerusi kerana pilihan raya perlu diadakan semula,” katanya lagi.

Bagi definisi ketiga pula, iaitu ‘Ahli Parlimen Bebas menyertai mana-mana parti’, Wan Junaidi berkata, Ahli Parlimen Bebas yang memenangi pilihan raya jika menyertai parti lain dianggap bercanggah dengan amanah yang dipilih oleh rakyat, kerana pemilihannya adalah disebabkan beliau bertanding sebagai calon bebas.

Beliau berkata, rakyat mungkin telah menolak calon lain daripada parti yang disertai tersebut semasa pilihan raya diadakan.

Sekiranya Ahli Parlimen Bebas menyertai mana-mana parti, Wan Junaidi berkata, pilihan raya perlu diadakan semula dan individu tersebut tidak hilang kelayakan untuk bertanding mewakili parti baharu dalam tempoh 60 hari dari beliau dipecat dan akan diumumkan oleh Dewan Rakyat sebagaimana tertakluk kepada Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Wan Junaidi berkata, Undang-undang Lompat Parti ini akan berkuatkuasa secara prospectif (ke hadapan) dan bukan retrospectif (mengambil kira kes lompat parti yang telah terjadi).

Terdahulu, Ambrose mahu mengetahui tindakan serta perancangan yang telah dirangka oleh kerajaan dalam melaksanakan RUU Antilompat Parti bagi mengelakkan berlakunya ketidakstabilan politik dalam negara.

Menjawab soalan tambahan Ambrose tentang sekiranya RUU itu tidak dapat dikuatkuasakan sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang, Wan Junaidi berkata, berkemungkinan besar apa yang terjadi ketika ini iaitu tiga kali bertukar Perdana Menteri dalam satu penggal, mungkin akan berulang.

“Kalau kita lihat, apa yang berlaku selepas PRU 2018, pada ketika itu kita berhadapan bahawa apabila dua parti besar satu kalah satu menang, kita lihat (menjangkakan) two-party system, sebagaimana Labour dan Conservative di England serta Democratic dan Republican di  Amerika Syarikat.

“Jadi kita melihat satu parti boleh menjadi check and balance pada parti lain mentadbir. Penjagaan amat baik. Malang apabila lompat parti berlaku, kerajaan tiada undang-undang, tiada peraturan langsung. Maka datang MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik.

“Dan ini sejarah pertama negara tiga kali bertukar Perdana Menteri dalam masa satu penggal Parlimen. Ini yang kita nak halang,” tegas beliau lagi.