Berlin: Dewan Perniagaan & Industri Jerman (DIHK) bakal mewujudkan kerjasama strategik dengan Majlis TVET Malaysia, khususnya dalam perkongsian kepakaran dan pengalaman, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Malaysia berkata, DHIK akan terlibat dalam proses mewujudkan rangka tindakan unik, bagi disesuaikan dengan program TVET di negara ini.

Katanya lagi, Dewan Perniagaan Jerman Malaysia juga akan bertanggungjawab menyelaraskan  syarikat-syarikat  Jerman  di  Malaysia  dan  sebahagian  daripada  majlis penasihat yangkhusus untuk membina ekosistem TVET di Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, Dewan Perniagaan Jerman akan memainkan peranan penting dalam mempromosikan program GDVT (German Dual Vocational Training), melibatkan penyertaan industri Malaysia, bagi maksud menyelaraskan tenaga kerja mahir Malaysia bersesuaian piawaian Jerman seterusnya menjadikan mereka lebih berdaya saing dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya, masa depan industri TVET adalah cerah dan kerjasama dengan institusi TVET yang mantap seperti di Jerman ini sudah pastinya akan memangkin ekosistem TVET di negara kita. 

“Kejayaan pelan tindakan ini akan bergantung kepada dedikasi, kerjasama yang berkesan dan akses kepada perkongsian kepakaran yang sedia ada. InsyaAllah  dengan  komitmen  dan  kerjasama yang  utuh,  saya  yakin, seperti di Jerman, Jepun, dan banyak negara maju lain,TVET akan menjadi pilihan utama pelajar dan menjadi penyumbang utama kepada tenaga kerja negara kita,” tambahnya. 

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan lawatan kerja sehari ke Berlin, Jerman, di mana beliau telah melawat ibu pejabat Bosch dan mengadakan perjumpaan dengan Bosch-Haus serta DIHK.

Beliau bersama-sama dengan GMI-MARA turut berbincang mengenai potensi kerjasama dan perkongsian kepakaran, khususnya dalam bidang TVET.

“Ketika ini, Malaysia sedang membangunkan rangka Tindakan komprehensif yang dikenali sebagai Dasar TVET Negara 1.0 - yang akan mencorakkan masa depan pendidikan vokasional di Malaysia.

“Rangka tindakan ini bertujuan bukan sahaja untuk menyampaikan kemahiran serta pengetahuan praktikal, tetapi juga untuk membentuk aspirasi dan peluang bagi anak muda di dalam negara.

“Saya percaya bahawa bakat belia Malaysia tidak seharusnya dihadkan semata-mata bagi  pencapaian akademik sahaja tetapi mereka perlu dipandu oleh minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), yang memerlukan kemahiran praktikal,” katanya. 

Menyentuh lebih lanjut mengenai lawatan tersebut, Ahmad Zahid berkata, beliau turut berpeluang  menyaksikan  majlis  menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Institut Jerman-Malaysia (GMI) dan TH Brandenburg University of Applied Sciences di universiti tersebut.

MoU tersebut, jelas Ahmad Zahid, bertujuan untuk mewujudkan kerjasama akademik untuk pelajar Jerman A-level (GAPP), meneroka laluan pengajian untuk graduan Diploma GMI, peluang latihan tenaga  pengajar  (TOT) dan mewujudkan Program Pertukaran Kakitangan GMI.