Dewan Rakyat bermula dengan sindiran

Sinar Harian
Julai 18, 2018 04:29 MYT
Suasana menjadi kecoh sehingga ditenangkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. - Foto Sinar Harian
Persidangan Dewan Rakyat pertama sesi ke-14 hari ini bermula dengan pelbagai sindiran antara wakil rakyat kerajaan dengan pembangkang.
Kekecohan bermula apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (PH-Bagan) menerima soalan tambahan daripada Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) daripada soalan pertama berkaitan percukaian.
Ismail membangkitkan sama ada kerajaan akan memberi kuasa mengutip cukai kepada kerajaan negeri.
“Kerajaan Persekutuan akan bagi kuasa negeri kutip cukai dan lupuskan hutang Pahang?
“Walaupun Bagan tak setuju GST dulu tapi minta hasilnya diagihkan kepada negeri. Jadi sekarang dah jadi menteri, Bagan akan buat atau tidak?,” tanyanya.
Soalan itu dijawab Guan Eng dengan sindiran, “saya amat tertarik dengan soalan dikemukakan. Hanya apabila sudah pergi sebelah sana (pembangkang), baru buat soalan demikian.”
Suasana menjadi kecoh sehingga ditenangkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
Namun Ismail mempertahankan soalannya dengan mengatakan perkara itu merupakan cadangan Guan Eng sebelum ini.
Sementara Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PH-Gombak) sempat menyindir Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Terima kasih kepada YB Pekan (Datuk Seri Najib Razak) mewakili Bagan tanyakan soalan tambahan.
“Saya kira YB Pekan lebih layak jadi Ketua Pembangkang daripada YB Bagan,” katanya.
Sebelumnya, Najib bangun bagi menanyakan soalan kepada Azmin berhubung kos projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura yang dinyatakan menteri itu mencecah RM110 bilion.
Soalan kedua berkaitan projek kontroversi itu dibangkitkan Zahid melalui pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan yang berbunyi, apakah aspek-aspek yang sedang dikaji, ekoran penangguhan projek HSR?
#ahli Parlimen #Dewan Rakyat #hutang #Ismail Mohamed Said #kecoh #kerajaan #Lim Guan Eng #Mohamad Ariff Md Yusof #pembangkang #sindiran #Speaker #wakil rakyat