Dewan Rakyat: Ganggu perbahasan Najib, RSN Rayer "dihalau" keluar

Harits Asyraf Hasnan
Mac 2, 2022 07:19 MYT
Dalam perbahasan Najib itu, Rayer berkali-kali membangkitkan isu dan meminta penjelasan berkaitan 1MDB. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama sehari.
Ia selepas beliau ingkar arahan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor untuk duduk selepas berkali-kali "mengganggu" perbahasan Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan).
"Jelutong ... sila keluar dari Dewan. Bentara sila iring. Saya putuskan selama sehari," katanya ketika perbahasan Titah Diraja, di sini, hari ini.
Dalam perbahasan Najib itu, Rayer berkali-kali membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan meminta penjelasan dari Ahli Parlimen Pekan itu.
Najib bagaimanapun, tidak memberi laluan kepada sebarang pencelahan.
Situasi di Dewan Rakyat bertukar bingit seketika selepas Datuk Seri Tajuddin Rahman (BN - Pasir Salak) mula mencelah untuk meredakan keadaan.
#Najib Razak #RSN Rayer #Dewan Rakyat #1MDB