Dewan Rakyat: Isu miskin tegar, harga barang naik jadi tumpuan hari ini

Astro Awani
November 30, 2021 00:36 MYT
Strategi dan pelan tindakan yang diambil kerajaan dalam mencapai sasaran miskin tegar pada tahun 2025 seiring Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.
KUALA LUMPUR: Strategi dan pelan tindakan yang diambil kerajaan dalam mencapai sasaran miskin tegar pada tahun 2025 seiring Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut aturan urusan mesyuarat, pertanyaan itu diajukan Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang kepada perdana menteri.
Turut terkandung dalam sesi itu ialah pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman kepada menteri kanan pendidikan berkaitan perkembangan pengoperasian sekolah di seluruh negara sejak pembukaan berperingkat pada 3 Oktober lalu.
Turut menjadi tumpuan ialah soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai tindakan kerajaan untuk menurunkan harga barangan yang naik tinggi dan mendadak pada bulan ini sehingga menjejaskan rakyat dan peniaga.
Seterusnya, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan inisiatif dan pertimbangan kementerian menyediakan skim insurans yang akan memberikan bantuan kewangan kepada warga emas bagi menampung kos sara hidup mereka pada masa hadapan.
Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris pula meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan jenis bantuan yang diberikan kepada pengusaha pusat pelancongan yang terkesan dengan masalah wabak COVID-19 agar mereka boleh membuka kembali perniagaan mereka.
Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan rang undang-undang perbekalan 2022 di peringkat jawatankuasa bagi beberapa kementerian.
Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember ini.
#Dewan Rakyat #COVID-19 #sasaran miskin tegar #RMK12