KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 pada Khamis kecoh apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan meletakkan jawatan.

Kekecohan itu berlaku selepas Anwar membaca kenyataan terbaharu daripada Istana Negara berkaitan pembatalan Ordinan Darurat yang berkuatkuasa pada 21 Julai lepas.

Membacakan kenyataan tersebut, Anwar berkata,  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan pada 26 Julai lalu oleh Takiyuddin.

Anwar yang memetik kenyataan tersebut berkata, kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenankan oleh baginda.

“Kabinet diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melanggar semangat Perlembagaan, menghina institusi diraja terutamanya Yang di-Pertuan Agong dan ini termasuk menteri di Jabatan Perdana Menteri (Takiyuddin).

“Kenyataan itu mengelirukan dan tidak bercakap benar di dalam dewan serta mengelirukan rakyat Malaysia. Kita tiada pilihan selain menuntut Perdana Menteri meletak jawatan,” tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu.

BACA: Agong zahir dukacita, pembatalan Ordinan Darurat dibuat sebelum perkenan Baginda




Kenyataan Istana Negara: Ketua Pembangkang tuntut PM letak jawatan

[LAPOR LANGSUNG] Hari keempat sidang Mesyuarat Khas Parlimen

Semasa Anwar membaca kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, beberapa Ahli Parlimen melaungkan “letak jawatan” dan “derhaka” beberapa kali sehingga keadaan menjadi kecoh.

Maszlee Malik (Simpang Renggam - PH) berkata, sekiranya tiada tindakan ‘gentleman’ daripada Muhyiddin dan Takiyuddin, perkara itu akan menjadi sejarah hitam kepada negara.

“Jika dibiarkan, tiada sikap ‘gentleman’ dari Kota Bharu (Takiyuddin) dan Pagoh (Muhyiddin) untuk letak jawatan, ia akan jadi titik hitam kepada sejarah negara,” tegas bekas Menteri Pendidikan di era pemerintahan Pakatan Harapan.