KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Khamis telah meluluskan Rang Undang-undang Racun (Pindaan) 2022 dengan lebih suara bersetuju.

Kali pertama dibentangkan pada 14 Mac lepas, pindaan itu antara lain mengandungi fleksibiliti dalam pengendalian racun dengan membenarkan penggunaan dokumen elektronik, meningkatkan denda dan hukuman berhubung penyalahgunaan racun dan bahan psikotropik.

Menerusi pindaan tersebut, denda untuk mereka yang disabitkan kesalahan naik dari RM10,000 kepada RM100,000, manakala hukuman penjara dari tidak melebihi empat tahun, kepada tidak melebihi lima tahun.

Individu atau pihak yang bersalah juga boleh dikenakan hukuman kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sewaktu menggulung RUU berkenaan berkata, status ketum dan ganja ada dibangkitkan dalam perbahasan, namun ia tidak tertakluk kepada pindaan kali ini.

“Kita tidak ada cadangan kawalan ketum di bawah RUU pindaan kali ini, tetapi mitragynine, iaitu alkaloid dalam ketum yang merupakan bahan psikoaktif, masih tertakluk kepada kawalan di bawah akta ini.

“Soalan Hang Tuah Jaya (Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin tentang kita mempunyai roadmap untuk ketum, sama ada ketum dapat dibenarkan, atau produk ketum dapat dijual dan sebagainya, untuk makluman YB saya dilantik oleh Jemaah Menteri sebagai pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum bagi tujuan perubatan …

“… untuk lihat kepada bukti terkini berkenaan ketum dan kanabis, terutamanya bagi tujuan perubatan.

“Selepas Jawatankuasa Khas mendapat pandangan daripada pakar, sama ada ketum atau kanabis, boleh digunakan selamat bagi tujuan tertentu untuk perubatan, maka kita akan keluarkan kerangka bagi pendaftaran produk sedemikian,” katanya lagi.

Khairy, yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, tentang ketum, Jawatankuasa Khas masih perlu melihat bukti kebaikannya, tetapi untuk kanabis, berkemungkinan besar kerangka pendaftaran produk yang ada kaitan dengan Cannabidiol (CBD) akan dikeluarkan menjelang hujung tahun ini.

Selain itu, Khairy berkata beliau bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bahawa cara paling selamat untuk menentukan kesan CBD adalah melalui ujian klinikal, bukan lagi ujian makmal.

Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau mengambil maklum pandangan beberapa Ahli Parlimen yang mahu mengetahui rasional di sebalik kenaikan penalti dan penjara melalui pindaan akta itu.

“Hukuman kepada penyalahgunaan bahan psikotropik bawah Seksyen 30 telah diperuntukkan sejak 1988 tanpa pindaan selama 34 tahun, hukuman bawah Seksyen 32 Akta 366 ini kali terakhir dipinda pada 1980 akta racun, hampir 42 tahun.

“Ini pandangan yang diperolehi setelah kita buat libat urus bukan saja dengan penguatkuasa, tapi semua pemegang taruh. Kita dapati hukuman sedia ada tak selaras dengan perkembangan semasa, tak setimpal untuk menghalang pesalah daripada ulangi kesalahan, tak beri pengajaran, atau pencegahan,” katanya lagi.

Khairy menegaskan, prinsip utama pindaan tersebut adalah demi melindungi rakyat, alam sekitar dan negara daripada kesan mudarat racun yang besar, akibat pengendalian racun dan bahan psikotropik yang tidak betul, tidak teratur dan tidak berintegriti.