MALAYSIA

Dewan Rakyat lulus pindaan Akta Perlesenan Tenaga Atom

Bernama 25/08/2025 | 12:00 MYT
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) yang telah berkuat kuasa selama 41 tahun tanpa sebarang pindaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pindaan itu bagi penambahbaikan, penguatkuasaan menyeluruh dan berkesan ke arah perundangan nuklear lebih komprehensif meliputi aspek keselamatan, sekuriti dan kawal guna selaras perkembangan teknologi tenaga atom semasa.

"Biarpun Malaysia hanya akan membuat keputusan mengenai penggunaan tenaga nuklear sebagai penjanaan elektrik selepas 2030, namun pindaan ini boleh dikatakan sebagai langkah kesiapsiagaan kita ke arah itu kerana kita tidak boleh buat persediaan selepas kita buat keputusan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025.

Beliau berkata fokus utama RUU itu bukan untuk memutuskan dasar penggunaan tenaga nuklear di Malaysia, sebaliknya bagi memperkasakan kerangka perundangan di bawah Akta 304 agar selaras piawaian antarabangsa.

Chang berkata pewartaan RUU itu akan dapat menyediakan undang-undang domestik untuk Malaysia menandatangani instrumen antarabangsa, sekali gus menunjukkan komitmen negara dalam memenuhi obligasi antarabangsa dan menjadi negara pihak kepada instrumen antarabangsa yang berkaitan tenaga atom.

"Dalam hal ini, terdapat lima instrumen antarabangsa berkaitan tenaga atom yang belum ditandatangani dan dua instrumen antarabangsa yang memerlukan ratifikasi, juga sebagai langkah persediaan ke arah penggunaan tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik," katanya.

Rang undang-undang berkenaan juga bertujuan mengadakan peruntukan berhubungan Majlis Penasihat Tenaga Atom.

Pindaan itu juga memasukkan seksyen baharu 41D untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan dan penalti bagi individu yang menjalankan aktiviti melibatkan bahan radioaktif atau bahan nuklear dengan niat untuk menyebabkan kematian, kecederaan serius kepada mana-mana orang dan kerosakan teruk terhadap harta atau alam sekeliling.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA



#Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 #pindaan akta #Chang Lih Kang #Dewan Rakyat