KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat yang ditangguhkan pada 16 Julai 2026 menyaksikan Rang Undang-undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 dan RUU Statistik 2026 diluluskan, masing-masing bagi memperkukuh pengeluaran lebih berdisplin dan tadbir urus yang lebih jelas serta mewujudkan kerangka perundangan yang lebih moden dan komprehensif.
Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 itu bersidang selama 16 hari sejak 22 Jun lepas.
RUU Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 yang diluluskan pada 16 Julai bertujuan memperkukuh asas perundangan dana itu sekali gus bagi memastikan aliran masuk yang lebih konsisten, pengeluaran yang lebih berdisiplin serta tadbir urus dan akauntabiliti yang lebih jelas, selain mewujudkan rizab kewangan jangka panjang bagi generasi Malaysia.
RUU itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Beliau berkata setelah hampir empat dekad, aset kumpulan KWAN berjumlah RM22.43 bilion pada akhir 2024, dengan Petronas kekal sebagai satu-satunya penyumbang secara sukarela berjumlah RM13.5 bilion.
Kadar caruman yang dimaktubkan pada 0.1 peratus adalah kadar minimum dan obligasi sumbangan kepada simpanan antara generasi perlu kekal teguh merentas kitaran fiskal dan kerajaan yang silih berganti.
Beliau berkata kadar itu hanya boleh diubah oleh Parlimen sendiri melalui akta pindaan, dan mana-mana kerajaan yang ingin mengubahnya mesti kembali ke Dewan Rakyat.
Menurutnya pengeluaran daripada KWAN hanya boleh dibuat bagi keperluan luar jangka melibatkan tiga tujuan yang diperuntukkan dalam akta iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan serta mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim.
Selain itu, RUU Statistik 2026 yang juga diluluskan pada 16 Julai antara lain bertujuan bagi menggantikan Akta Perangkaan 1965 (Akta 415) yang telah diguna pakai selama 61 tahun.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang membentangkan RUU berkenaan berkata perundangan yang dikemas kini membolehkan penghasilan data dan statistik yang menggambarkan keadaan semasa negara dengan lebih tepat merangkumi bidang sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Majlis Statistik Negara akan ditubuhkan sebagai badan penasihat utama dalam memberikan panduan dan arahan mengenai perkara berkaitan statistik, menilai dan mengesahkan standard serta tatacara statistik di Malaysia dan melaksanakan perkara lain yang berkaitan dengan fungsinya di bawah akta berkenaan.
Menurutnya penggubalan RUU itu juga berpandukan kepada saranan, garis panduan dan amalan terbaik antarabangsa yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Eropah (UNECE).
Ia juga memperkukuh perlindungan kerahsiaan data selaras dengan Prinsip Asas Perangkaan Rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengiktiraf kerahsiaan sebagai antara prinsip teras statistik rasmi.
Sebelum itu, Dewan Rakyat turut meluluskan usul memindahkan sebanyak RM14.5 bilion baki wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 ke dalam Kumpulan Wang Pembangunan (KWP) pada 15 Julai.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata sumber dana KWP diperoleh melalui pindahan daripada Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan, terimaan balik pinjaman dan terimaan pelbagai untuk pembangunan.
Secara umumnya, pindahan daripada Akaun Pinjaman Disatukan ke KWP terdiri daripada terimaan terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia, MGII, Bil Perbendaharaan dan pinjaman luar negeri.
Antara isu yang dibincangkan pada persidangan kali ini ialah pelaburan oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) khususnya dalam eFishery yang merupakan mangsa penipuan terancang susulan terdapat manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat pemula dari Indonesia itu.
Turut dibangkitkan ialah tanggungan kerajaan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dengan kerajaan telah melunaskan bayaran hutang dan komitmen 1MDB berjumlah RM42.5 bilion dan masih berbaki RM20.1 bilion sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan, pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand dan potensi penjanaan tenaga bersumberkan daripada kilang sawit.
Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan hingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
-- BERNAMA